Perdana Menteri hari ini berkata kerajaan sedang mengkaji untuk
meminda atau membatalkan semua undang-undang yang bercanggah dengan
keputusan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penggunaan kalimah Allah.

Menurut
Anwar Ibrahim antara langkah itu ialah bagi membolehkan kalimah Allah
hanya digunakan oleh orang Islam di Semenanjung Malaysia, manakala untuk
bukan Islam di Sabah dan Sarawak diberikan sekatan.

Menafikan
tindakan menarik balik rayuan kes mahkamah baru-baru ini sebagai suatu
kelemahan, Anwar berkata langkah berkenaan adalah sebahagian daripada
usaha kerajaan untuk memastikan ia tidak boleh dipertikaikan lagi di
mana-mana mahkamah.

Katanya keputusan tersebut dibuat atas pandangan diberikan Peguam Negara Idrus Harun.

"Kalau tidak, kita buat rayuan (kemudian) kes berbangkit lagi kerana ada percanggahan (dalam undang-undang).

"Sebab itu kerajaan tamatkan dengan pinda semua peraturan (berkaitan) supaya jelas dan tidak ada kes boleh dibawa ke mahkamah.

"Bagi saya, ini lebih jelas ada kekuatan... (justeru) apa yang lemah?

Pertikaian
di antara pihak kerajaan dan pembangkang mengenai isu penggunaan
kalimah Allah merujuk kepada kes dibawa penganut Kristian dari Sarawak,
Jill Ireland, pada 2021.

Ia
dirujuk ke mahkamah selepas pihak berkuasa merampas sejumlah cakera
padat milik wanita terbabit sewaktu dia tiba di Lapangan Terbang Kuala
Lumpur pada 11 Mei 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nor
Bee Ariffin pada 10 Mac 2021 memutuskan kerajaan melakukankesilapan
semasa mengeluarkan larangan penggunaan kalimah "Allah" kepada
masyarakat bukan Islam pada 1986.

Anwar
berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Takiyuddin Hassan
(PN-Kota Bharu) yang menggesa kerajaan mewajarkan keputusan untuk
menarik balik rayuan dalam kes Jil.

Terdahulu Idris Ahmad
(PN-Bagan Serai) membangkitkan pertanyaan asal mengenai adakah kerajaan
mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan berunding dengan majlis
agama Islam negeri-negeri sebelum membuat keputusan sedemikian.