Oleh Ronasina

Isu
Coldplay jadi besar hanya kerana orang politik menyibuk-nyibuk. Ada
banyak konsert berlalu dan mendatang tapi konsert Coldplay pula yang
jadi isu nasional.



“Abang tak pergi ke konsert Coldplay?” Tanya kawan saya,
anak muda yang setelah gigih bertarung di internet, akhirnya gagal
memiliki tiket.


“Tak. Tak minat,” jawab saya.


Saya mempunyai sifir mudah dalam hitungan hidup saya. Jika tak minat,
walaupun ditawarkan tiket percuma pun saya tak mahu. Biarlah diberikan
kepada mereka yang benar-benar minat. Kalau saya minat betul dengan
seseorang artis atau sesebuah band tapi bajet tak ada untuk beli tiket
konsert, saya diam sajalah buat bodoh tanpa perlu ada rasa ralat. Saya
hanya peminat, bukan penyembah. Mampu, saya pergi. Tak mampu, lupakan.
Tapi kalau beri tiket percuma, ya saya akan pergi. Saya harap sifir
hidup saya ini boleh dijadikan contoh. Ha! Ha!


Isu Coldplay jadi besar hanya kerana orang politik menyibuk-nyibuk.
Ada banyak konsert berlalu dan mendatang tapi konsert Coldplay pula yang
jadi isu nasional. Sebab permainan geng-geng politik ni aja! Antara
pro-kerajaan dan pro-pembangkang. Mulalah main isu LGBT, isu ‘maksiat
merosakkan ummah dan mengundang kemurkaan tuhan’ padahal waktu ‘awak’
jadi kerajaan sebelum ini tak adakah konsert di mana artisnya
‘menyokong’ LGBT? Tak payahlah kita nak senaraikan di sini, boleh saja
kita buat “homework” (bak kata Hattan) apa konsert dan siapakah artis
semasa kerajaan terdahulu, akan terkeluarlah. Kenapa pada masa itu kamu
tak bising? Tak bertekak tentang isu moral atau LGBT atau maksiat? Di
rumah kamu tidak ada cermin muka waktu kamu menyikat rambut pagi-pagi?
Tentang kedai judi dan cabutan nombor ekor waktu kamu perintah
bagaimana? Kenapa kamu diam?


“Oh! Ingat abang anti-LGBT,” gurau kawan saya membuat saya tersedar
jauh benar saya mengelamun menjawab persoalan di atas. Saya tahu kawan
saya ini hanya sekadar melawak. Dia sengaja hendak menjolok saya, saya
tahu.


Saya cukup berasa mual dan menyampah dengan permainan isu politik
‘bangang’ tak habis-habis macam ini. Okeylah, saya tak minat Coldplay.
Kita tukar situasi. Saya peminat band Queen. Jika band Queen masih ada
atau Freddie Mercury masih hidup dan datang Malaysia untuk buat konsert,
saya hendak pergi. Saya suka Freddie, setiap kali mendengar nyanyian
dan menonton persembahannya tidak terlintas pun dalam kepala saya dia
itu mempunyai sisi lain dari segi orientasi seks apatah lagi untuk
menjadi seperti dirinya. TIDAKKK! Saya pernah ketika remaja diancam
seorang ‘brader’ seks songsang dan trauma yang saya alami memakan masa
bertahun-tahun. Saya “straight” dan saya menentang sesuatu yang
dipaksakan ke atas saya. Kau, kau. Aku, aku!


Jadi, saya meminati Queen bukan kerana Freddie seorang homoseksual
atau biseksual. Itu dia punya hal. Saya terangsang mendengar lagu
Bohemian Rhapsody, Innuendo, Love Of My Life, Don’t Stop Me Now, dan
lain-lain. Muziknya membuat saya bertenaga. Minat gila!


Soal
konsert meruntuhkan moral, mengundang kemarahan Tuhan ini amat
menyedihkan saya. Apakah seorang saya yang ingin menikmati muzik
sesebuah band itu turut sama dicop bersubahat jika berpuluh ribu
penonton lain dikatakan buat maksiat? Sedihnya. Tanpa memikirkan Freddie
seorang homoseksual apakah saya tergolong dalam golongan yang
bersubahat ketika saya hadir di dalam stadium itu? Saya hanya ingin
menikmati bunyian yang dihasilkan oleh sekumpulan seniman. Tapi saya
kena pukul rata dan dahi saya pun kena cop sebab adanya istilah
‘subahat’? Isy… kecewanya.


Yang saya tahu artis-artis yang membuat konsert di mana saya
hadir itu bukan kluster mahkamah yang mempunyai tuduhan rasuah. Puak
yang menyatakan saya tak bermoral sebab pergi konsert itu boleh pula
berpeluk-peluk dengan musuh lama mereka yang mereka sendiri pernah kata
tak bermoral, perembat kekayaan, dan pemecah-belah ummah. Eh…eh dia
berkawan tak apa, kita tak boleh. Bila dia buat, dia kata demi
menyelamatkan ummah, kita yang pergi konsert dia bilang meruntuhkan
ummah. Untuk dia tak ada istilah bersubahat, istilah moral. Apa cerita
ni, dey?


Alamak! Ter-emosi pula saya. Maaf. Tenang! Tenang! Mari kita
selesaikannya baik-baik atas nama demokrasi. Siapa saja berhak beri
pandangan. Kita alu-alukan. Pihak ‘sana’ berhak mengatakan saya tak
bermoral jika saya hadir ke konsert, saya terima. Saya juga berhak
menolak mereka yang saya rasa bersubahat apabila mereka bergabung dengan
pemimpin politik yang pernah mereka sendiri gelarkan sebagai bapa
perasuah. Adil, 1-1.


“Masalah moral, masalah akhlak

Biar kami cari sendiri

Urus saja moral mu, urus saja akhlak mu…”


Itu kata Iwan Fals dalam lagu Manusia Setengah Dewa. Kata saya pula..


“Masalah moral, masalah akhlak

Kita uruslah sendiri,

Bersihkan diri, bersihkan hati,

Bersihkanlah air paip yang keruh itu sekali!”