Oleh Zanariah Abd Mutalib -

KONVENSYEN Nasional Kerajaan Perpaduan, Ahad lalu, melakar sejarah
apabila menghimpunkan hampir 10,000 pemimpin dan ahli parti komponen
kerajaan, yang 'dulunya lawan, kini kawan' di pentas sama.


Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) menjadi saksi
kepada kesepakatan termeterai antara 19 parti komponen selepas enam
bulan terbentuknya Kerajaan Perpaduan, pasca Pilihan Raya Umum Ke-15
(PRU15), sekali gus melupakan persengketaan antara sesetengah parti yang
sudah memakan masa berdekad-dekad lamanya.


Mereka bertekad memastikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana
Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kekal utuh hingga Pilihan Raya Umum
Ke-16 (PRU16), dengan menzahirkan komitmen untuk mengekalkan kestabilan
politik, walaupun berbeza ideologi.


Konvensyen yang julung kali itu, turut menyaksikan pemeteraian
Deklarasi Buat Malaysia, ditandatangani 19 ketua parti komponen, dengan
lima tekad untuk memperkasa pentadbiran, meningkatkan ketelusan, memacu
pertumbuhan ekonomi dan memastikan kebajikan rakyat terpelihara.


Pada masa sama, Wanita dan Pemuda Kerajaan Perpaduan, masing-masing
turut menzahirkan lima tekad, dengan matlamat sama, menggambarkan
kesepaduan sayap itu untuk mendokong aspirasi kerajaan.


Ketika desas-desus mengenai wujudnya gerakan untuk menumbangkan
Kerajaan Perpaduan masih belum berakhir, Perdana Menteri menggunakan
pentas besar konvensyen itu untuk meyakinkan rakyat bahawa
pentadbirannya kini dalam keadaan kukuh dan stabil.


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan, kejayaan
konvensyen itu membuktikan kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan
tergugat dan mampu kekal mentadbir negara sekurang-kurangnya hingga
PRU16.


Keyakinan beliau itu diperkukuh lagi dengan komitmen daripada ketua
parti komponen, baik dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak untuk melangkah
bersama-sama dengan beliau, mentadbir dan menguruskan negara.


Ini bukan kali pertama Perdana Menteri menegaskan keutuhan kerajaan
pimpinannya, selepas bertiupnya khabar angin ada ahli Parlimen kerajaan
yang akan beralih sokongan, dengan terbaru beberapa pimpinan pembangkang
mendakwa ia mempunyai sokongan hingga 126 Ahli Dewan Rakyat.


Fokus laksana tata kelola baik


Selain terus menekankan prinsip untuk kerajaan pimpinannya
melaksanakan tata kelola yang baik dan tidak berkompromi dengan sebarang
bentuk rasuah serta salah guna kuasa, Perdana Menteri memberi jaminan
bahawa masalah yang membelenggu rakyat akan terus diberi keutamaan.


Isu air di Kelantan dan Sabah akan diselesaikan tahun ini, dengan
kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri, selain memenuhi semua
tuntutan yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi
Sabah dan Sarawak.


Pada masa sama, tidak dapat dinafikan, sejak tertubuhnya Kerajaan
Perpaduan seperti disyorkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas tiada parti mendapat
majoriti pada PRU15, kesepakatan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan
sentiasa dipersoal, terutama antara PH dan Barisan Nasional (BN).


Pemimpin parti gabungan menyerang sesama sendiri secara terbuka,
malah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, yang dijangka
pada Julai atau Ogos ini, sudah mula kedengaran bibit-bibit pertelagahan
dalam urusan pembahagian kerusi.


Tidak mahu masalah itu terus mengganggu-gugat keharmonian cuba
dipertahankan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada
pertemuan tertutup dengan Ketua Bahagian UMNO sempena konvensyen itu
menggesa supaya keserasian antara 19 parti itu disegerakan.


Gesaan Timbalan Perdana Menteri itu juga turut dizahirkan rakan
sejawatnya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Naib Presiden Kanan
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), yang meminta semua parti mencari
titik persamaan untuk memperkukuh perpaduan, bukan menumpukan kepada
perbezaan.


Malah, Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam nada sama,
mahu pimpinan parti berusaha membawa kerjasama dan kestabilan di
peringkat kerajaan ke peringkat ahli parti serta akar umbi.


Bagi sesetengah pemimpin dan penyokong parti, mungkin bukan sesuatu
mudah untuk bersahabat dengan musuh tradisi, lebih-lebih lagi bukan atas
kerelaan sendiri, sebaliknya kerana menurut kehendak parti, yang
disifatkan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
seperti 'kahwin paksa'.


Bukan hanya dalam kalangan pemimpin BN, beberapa pemimpin DAP
sendiri mengakui mereka tidak pernah terfikir untuk hadir ke WTC, tempat
yang sinonim dengan UMNO, malah berkongsi pentas sama atas nama
Kerajaan Perpaduan.


Dengan baki menjelangnya PRN sekitar dua bulan lagi, mahu atau
tidak, 19 parti di bawah Kerajaan Perpaduan ini perlu bersatu dalam erti
kata sebenar, dari peringkat atas sehingga ke bawah.


PRN adalah gelanggang pertama akan menguji kesepakatan dalam
Kerajaan Perpaduan, bermula daripada agihan kerusi, kempen sehingga
menerima keputusan yang ditentukan rakyat kelak.


Dengan keyakinan Perikatan Nasional (PN) bahawa 'gelombang hijau'
mampu menakluk enam negeri pada PRN nanti, ini bukan masanya untuk parti
komponen Kerajaan Perpaduan mengungkit kisah lama atau mahu menunjukkan
siapa lebih dominan.


Mereka sebaliknya perlu sederap melangkah membuktikan kerjasama yang
dikatakan 'kerana terpaksa' itu berhasil dan merekalah kestabilan yang
amat didambakan rakyat.


Penulis adalah wartawan BH