Oleh
Jika anda beritahu saya bahawa saya sedang ditipu secara
terang-terangan akibat sikap lalai dan jahil saya sendiri, ia bermakna
anda anggap saya seorang yang tidak sedar saya sedang ditipu lalu
membiarkan diri ditipu kerana lalai dan jahil.
Dalam lain perkataan, anda melihat saya sebagai orang tidak
peka, tidak peduli diri ditipu, malah tidak cerdik atau mungkin juga
bodoh sehingga tidak tahu diri sedang ditipu dengan terang dan juga
mengizinkan penipuan ke atas saya dijalankan. Itu sebabnya anda berkata
saya sedang ditipu akibat kelalaian dan kejahilan sendiri.
Mungkinkah
itu anggapan Hadi Awang apabila beliau berkata menerusi hantaran di
media sosial tempoh hari bahawa “kaum Melayu dipermain-mainkan dan
ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan dan kelalaian mereka.
Berkata pula sekutu beliau, Dr Mahathir Mohamad (yang dulu seterunya,
kemudian sekutu, jadi seteru semula, dan kini sekutu) bahawa “orang
Melayu tak sedar masalah menimpa mereka”, ketika menyenaraikan 12
masalah orang Melayu dalam Proklamasi Orang Melayu anjurannya.
Bolehkah disimpulkan ketika berkata orang Melayu tidak sedar juga
menganggap orang Melayu lalai, jahil, tidak cerdik, atau tidak peduli
tentang masalah yang menimpa mereka, atau amat bodoh sehingga masalah
yang menimpa pun mereka tidak sedar?
Mahathir terkenal dengan pendapat “Melayu malas”. Untuk sekian lama
dan berulang kali beliau menegaskan orang Melayu malas dan tidak mahu
kerja keras. Banyak kali kita dengar kata-kata Mahathir bahawa “Melayu
tidak sanggup buat kerja berat dan kasar kerana berasa ia pekerjaan hina
dan berpendapatan rendah”.
Perlu ditegaskan artikel ini tidak berhasrat memutuskan sama ada
pendapat Mahathir itu betul atau tidak. Bukan juga untuk mengupas
mengapa beliau berkata apa yang beliau kata. Artikel ini sekadar
berkongsi sedikit sebanyak apa yang pernah dikatakan beliau seperti
dilapor media.
Pada September 2019 ketika membuat catatan dalam blognya, Mahathir
berkata Melayu masih malas dan rela menyerahkan segala kerja kepada
bangsa asing. Namun Mahathir pernah memohon maaf (jika ia boleh
disifatkan demikian) kerana melekatkan label ‘malas’ ke atas orang
Melayu. Umpamanya pada September tahun lalu, beliau dipetik media
berkata “Saya minta maaf. Orang Melayu rajin. Tetapi masalah boleh
diatasi dengan saya minta maaf? Kalau kerana saya minta maaf orang
Melayu jadi kaya, baik saya minta maaf. Itu kalau nak.”
Mahathir
pernah menyifatkan kegagalannya yang terbesar ialah tidak berjaya
mengubah sikap malas orang Melayu. Beliau dipetik berkata, “saya sudah
lakukan bermacam-macam, merayu, berdoa tetapi tidak berjaya.”
Penjajah Inggeris pun ada menyifatkan orang Melayu sebagai
pemalas. Lantas gelaran “the lazy natives”. Kata mereka Melayu malas
untuk kerja di lombong bijih timah dan estet getah. Itu digunakan untuk
menjustifikasi langkah membawa tenaga kerja dari China dan India. Namun
ada pendapat mengatakan orang Melayu ‘malas’ kerja di lombong dan estet
kerana tidak mahu Inggeris mengaut keuntungan hasil titik peluh mereka.
‘Kemalasan’ mereka, kata sesetengah pihak, tindakan boikot. Protes
secara senyap, lawan tanpa keganasan. Betul begitu? Waullahualam.
Oleh kerana Mahathir menganjurkan Proklamasi Orang Melayu
dan Hadi menyokongnya demi ‘menyelamatkan orang Melayu’, bolehkah
digabungkan pendapat mereka mengenai orang Melayu seperti berikut: “Dah
lah malas, jahil pulak tu”?
Mahathir mendakwa Proklamasi Orang Melayu yang dibawanya
bukan langkah politik. Begitu juga Hadi dalam menyokong tindakan
Mahathir itu. Saya bagaimanapun tidak dapat elak daripada percaya apa
yang dilakukan ialah langkah politik bertujuan menjatuhkan kerajaan dan
mengambil alih kuasa memerintah negara.
Pilihan raya akan diadakan di enam negeri tidak lama lagi.
Jangan nafi bahawa mereka mahu sokongan orang Melayu di peti undi –
komuniti sama yang mereka anggap malas, lalai, dan jahil.

0 Komentar