PETALING JAYA: PAS dilihat sebagai parti bermasalah kerana sering
keluar gabungan apabila tidak berasa serasi dan sejarah sudah
membuktikannya, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.


“Dalam sejarah, PAS berkawan dengan parti lain dan membentuk
gabungan, selalunya yang terkeluar itu PAS. Maksudnya yang bermasalah
bukan parti lain tapi PAS sendiri.


“PAS boleh kata dia pegang prinsip, dia tidak korban (prinsip),
hakikatnya setiap kali dia berkawan, setiap kali itu dia keluar,”
katanya kepada FMT.


Saifuddin mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa
parti itu bukan rumah tumpangan sementara waktu yang boleh dipergunakan
pihak lain untuk melakukan jual-beli politik.


PAS sebelum ini bekerjasama dengan PKR dan DAP atas tiket Pakatan
Rakyat, namun gabungan itu terbubar pada 2015 selepas DAP dan PAS tidak
lagi sehaluan.


Selepas kalah pada PRU 2018, PAS dan Umno memeterai Piagam Muafakat
Nasional pada akhir 2019 namun kerjasama atas platform penyatuan ummah
itu juga gagal apabila PAS menyertai Bersatu membentuk Perikatan
Nasional pada 2020, selepas lima bulan di Putrajaya.


Mengulas lanjut, Saifuddin berkata PAS tidak boleh menganggap parti
itu sebagai rumah tumpangan, kerana hakikatnya tidak ada parti yang
menumpang mereka.


“Saya menepis sama sekali andaian Hadi bahawa dia menghulurkan salam
perpaduan dengan syarat PAS tak dijadikan rumah tumpangan, sejarah
membuktikan sebaliknya,” katanya.


Saifudin turut berkata, pendirian PAS sentiasa berubah
dengan mengambil contoh sikap parti itu terhadap DAP ketika bersama
dalam Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.


“Masa (PAS) bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat,
DAP adalah parti yang banyak berjasa, ketika PAS keluar, DAP menjadi
musuh Islam.


“Kalau DAP musuh Islam, bagaimana Hadi menjelaskan pada 1999
dia berkawan dengan DAP sehingga 2008 dalam Pakatan Rakyat. Adakah
dalam tempoh itu Hadi berkawan dengan musuh Islam,” soalnya.