Oleh Rusdi Omar
Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik balik
rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan
penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah “Allah”, “Baitullah”,
“Solat”, dan “Kaabah” dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan
pembelajaran tidak sepatutnya menimbulkan keributan.
Jika diteliti
keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes Jill Ireland bt
Lawrence Bill v Menteri bagi KDN Malaysia & Anor pada 10 Mac 2021,
keputusan Hakim Nor Bee Ariffin hanya menyentuh soal undang-undang
pentadbiran dan pelaksanaan kuasa pentadbiran (exercise of administrative powers).
Isunya
mudah, lapan cakera padat audio (CD) pendidikan Kristian milik seorang
warganegara Malaysia dan Bumiputera beragama Kristian daripada suku
Melanau, Sarawak, bernama Jill Ireland dirampas bawah seksyen 102 Akta
Kastam 1967 dan seksyen 9 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Lapan
CD tersebut mempunyai kalimah Allah pada tajuknya, iaitu (1) Cara
menggunakan kunci kerajaan Allah; (2) Cara hidup dalam kerajaan Allah;
(3) Ibadah yang benar dalam kerajaan Allah; (4) Metode pemuridan
kerajaan Allah; (5) Pribadi yang bertumbuh dalam kerajaan Allah; (6)
Hidup benar dalam kerajaan Allah; (7) Pemerintahan kerajaan Allah dalam
hidup kita; dan (8) Rahasia kerajaan Allah.
Ireland
mendakwa lapan CD tersebut adalah untuk kegunaan peribadinya kerana
selama ini dia dan keluarganya menggunakan Bahasa Malaysia dan Alkitab
(terjemahan bahasa Indonesia Yang perkataan Allah digunakan) dan
bahan-bahan bertulis dan audio visual dalam Bahasa Indonesia dalam
amalan kepercayaan Kristian mereka.
Penyitaan lapan CD tersebut
dilakukan berdasarkan arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang mengatakan
kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah “Allah”,
“Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” dalam penerbitan untuk melindungi
ketenteraman awam dan mencegah kekeliruan dan salah faham antara orang
Islam dan Kristian.
Setelah melalui perbicaraan awal, Mahkamah
Tinggi hanya membenarkan perintah certiorari dan mandamus dan menolak
kesemua prayer lain dengan alasan larangan penggunaan kalimah “Allah”
dalam penerbitan Kristian tidak dapat dicabar secara kolateral dalam
prosiding semakan kehakiman tetapi hanya dengan mencabar secara spesifik
undang-undang yang mengenakan larangan tersebut.
Setelah dirayu
oleh Ireland, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan tersebut tetapi
mengembalikan permohonan semakan kehakiman semula ke Mahkamah Tinggi
agar prayer (c) dan (d) dapat didengar kerana permohonan tersebut tidak
berkaitan dengan penggunaan kalimah Allah tetapi terhadap dakwaan
pelanggaran hak perlembagaan pemohon.
Secara
spesifiknya, prayer (c) dan (d) ini adalah: (i) bahawa menurut perkara
11 Perlembagaan Persekutuan, pemohon berhak mengimport lapan CD tersebut
semasa menjalankan hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dan
haknya untuk mendapat pendidikan; dan (ii) bahawa menurut perkara 8
Perlembagaan Persekutuan, pemohon harus dilayan secara sama rata seperti
semua orang lain tanpa didiskriminasi atas dasar agamanya dalam
pentadbiran undang-undang, khususnya, Akta Kastam dan Akta Mesin Cetak
dan Penerbitan.
Hanya menyentuh undang-undang pentadbiran
Setelah
kes ini dibawa kepadnya, keputusan hakim adalah, arahan KDN pada 5
Disember 1986 tersebut bertentangan dengan undang-undang, menyalahi
undang-undang dan terbatal kerana ia bertentangan dengan Perintah
Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Penerbitan) (No 4) tahun 1982
(Perintah 1982) yang secara jelas tidak melarang pemilikan atau
penggunaan Alkitab di gereja-gereja Kristian di seluruh negara.
Jelas
Nor Bee, KDN dan kerajaan juga tidak menunjukkan bukti yang mencukupi,
boleh dipercayai dan berwibawa mengenai kekeliruan atau salah faham atau
gangguan atau kemungkinan gangguan terhadap ketenteraman awam yang
telah terjadi atau boleh berlaku sekiranya kalimah Allah digunakan oleh
masyarakat Islam dan Kristian.
Tambah dia lagi, komuniti Kristian
di Sabah dan Sarawak juga telah menggunakan kalimah Allah dalam Bahasa
Malaysia untuk perkataan Tuhan selama beberapa generasi dalam anutan dan
amalan kepercayaan Kristian mereka dan tidak ada keterangan di hadapan
mahkamah bahawa amalan tersebut menyebabkan masalah kekacauan awam
selama bertahun-tahun.
Arahan KDN pada 5 Disember 1986 tersebut
juga tidak konsisten dengan keputusan polisi kabinet yang tercatat di
dalam memo perdana menteri bertarikh 19 Mei 1986 dan memo timbalan
perdana menteri bertarikh 16 Mei 1986 yang tidak mengenakan larangan
menyeluruh pada kalimah Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat sedangkan
arahan KDN tersebut mengenakannya.
Oleh itu, terang lagi bersuluh
bahawa keputusan hakim hanya menyentuh soal undang-undang pentadbiran
dan perjalanan kuasa pentadbiran.
Mantan perdana menteri sewaktu
kes ini diputuskan yang kini pengerusi Perikatan Nasional (PN),
Muhyiddin Mohd Yassin, dalam kenyataan medianya menyatakan rasa kesal
dengan keputusan Kerajaan Perpaduan menarik balik rayuan dalam kes yang
dikatakan melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.
Mengikut
Muhyiddin, antara hujah utama KDN yang diketuainya menolak cadangan
penyelesaian kes Ireland di luar mahkamah, ialah penyebaran risalah
agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah yang didakwa boleh
menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan ini berkemungkinan
menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Muhyiddin juga
berkata, rayuan tidak perlu ditarik balik, kerana sekiranya keputusan
mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan
selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang
berkenaan.
Bagaimanapun, hujah Muhyiddin ini terlalu rapuh. Kes
Ireland ini akan mengambil masa yang lebih panjang, mungkin
bertahun-tahun, untuk diselesaikan sehingga ia selesai sepenuhnya di
peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Arahan menyeluruh KDN
Disebabkan
keputusan kes ini hanya menyentuh soal undang-undang pentadbiran dan
perjalanan kuasa pentadbiran, maka cara terbaik dan terpantas untuk
menyelesaikannya adalah melalui perubahan pada undang-undang pentadbiran
dan perjalanan kuasa pentadbiran.
Oleh sebab itu, pengumuman KDN
bahawa ia sedang mengambil langkah mengkaji dan mengemas kini satu
arahan yang lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah
Allah, Baitullah, Solat”, dan Kaabah agar selari dengan kepentingan dan
kemaslahatan masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia adalah
langkah terbaik.
Ia membuktikan Kerajaan Perpaduan, tidak seperti
kerajaan-kerajaan sebelumnya, mempunyai iltizam politik yang kuat untuk
menyelesaikan setuntasnya masalah ini dengan tidak perlu menunggu
sehingga selepas proses rayuan selesai barulah pihak kerajaan mahu
meminda arahan atau undang-undang berkenaan kerana ini hanya akan
membazir masa.
Masa sama, jaminan KDN bahawa ia akan memastikan
kebebasan beragama tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang
berlawanan dengan mana-mana undang-undang am yang berhubungan dengan
ketenteraman awam, kesihatan awam atau kemoralan serta kebebasan
beragama masih tertakluk kepada undang-undang persekutuan/negeri yang
boleh mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama
lain dalam kalangan orang Islam, akan memastikan bahawa kegusaran dalam
kalangan umat Islam tidak akan berlaku.
Inilah Malaysia Madani yang sebenarnya, Malaysia yang bertoleransi dan saling menghormati.
RUSDI
OMAR adalah profesor di School of International Studies (SoIS) dan
dekan Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) di Universiti
Utara Malaysia (UUM).

0 Komentar