Oleh Balkish Awang


Selepas sebulan menahan lapar dan dahaga,
pastinya Syawal yang tiba disambut dengan hati yang gembira, bukan
sahaja dapat menjamu selera tetapi yang lebih bermakna dapat ‘balik
kampung’ ke pangkuan ayahanda dan bonda.


Lazimnya sepanjang bulan perayaan ini juga, kebanyakan kita sibuk
mengatur jadual bagi menghadiri rumah terbuka yang diadakan
sanak-saudara, kenalan juga jiran-tetangga.


Sebulan berpuasa, sebulan jugalah kita beraya dan selama itulah
mungkin ada yang sakan makan sehingga rutin diet sebelum ini, kata orang
‘hanyut ke laut’.


Seorang
peserta beraksi dengan mencuba ‘wall climbing’ dalam cuaca panas di Gua
Damai Gombak pada 9 Mei 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Musim panas, strok haba


Dalam sibuk teruja berhari raya, perlu diingat bulan Syawal bukan
‘tiket’ untuk membalas dendam menikmati apa sahaja hidangan, setelah
berlapar dahaga sebulan menjalani ibadah puasa Ramadan. Bimbang nanti,
habis raya, diri pula diserang ancaman pelbagai jenis penyakit.


Perlu juga peka Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini disambut ketika
tempoh peralihan Monsun Timur Laut yang menyebabkan cuaca panas
berpanjangan di beberapa negeri terutama di utara Semenanjung sehingga
bulan Ogos depan.


Di samping itu, terdapat laporan memetik pusat ramalan iklim APEC
Climate Center di Busan, Korea meramalkan, “El Nino kuat dijangka akan
berlaku bermula Jun, sekali gus menyebabkan di Malaysia dan Indonesia
akan menjadi lebih kering dan panas bermula Jun hingga Oktober depan.”


Cuaca panas berpanjangan itu turut dikaitkan dengan strok haba yang
menuntut masyarakat lebih berhati-hati ketika berhari raya apatah lagi
terdapat laporan berita berhubung kematian kanak-kanak dipercayai
disebabkan strok haba.


Menurut Pakar Pemakanan Institut Farmakogenomiks Integratif
(iPROMISE), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Norazmir Md
Nor, berdasarkan situasi semasa hari ini, penting untuk masyarakat
menjaga kesihatan masing-masing dengan tubuh badan kekal terhidrat.


“Pastikan minum banyak air sebelum dan semasa berkunjung ke rumah
terbuka. Elakkan minuman berkafein kerana ia boleh menyebabkan
dehidrasi. Untuk pakaian pula digalakkan memakai pakaian berwarna terang
dan longgar yang membolehkan kulit berasa selesa. Elakkan warna gelap
kerana ia boleh menyerap haba.


“Lindungi diri daripada matahari dengan memakai topi dan menyapu krim
pelindung matahari pada kulit yang terdedah untuk melindungi diri
daripada kesan berbahaya matahari. Selain itu jika badan mula berasa
terlalu panas, berehatlah di kawasan teduh atau ruang berhawa dingin.
Elakkan berada di bawah terik cahaya matahari untuk tempoh yang lama,”
katanya kepada Bernama baru-baru ini.


Ibu bapa yang membawa anak-anak menziarahi sanak saudara ke rumah
terbuka ketika cuaca panas masih melanda negara, perlu mengambil langkah
berjaga-jaga demi keselamatan anak mereka.


“Sebenarnya kanak-kanak lebih terdedah kepada dehidrasi berbanding
orang dewasa, jadi adalah penting untuk memastikan mereka minum banyak
air sepanjang hari. Sediakan air, jus atau minuman kegemaran kepada anak
dengan lebih kerap, walaupun mereka tidak berasa dahaga.


“Ibu bapa boleh memakaikan anak-anak dengan pakaian yang selesa dan
ringan yang dapat membantu memastikan mereka berasa sejuk semasa cuaca
panas.


“Elakkan beraya pada waktu panas puncak seeloknya pergi ketika cuaca
lebih sejuk seperti awal pagi, lewat petang atau malam dan hindarkan
dari berada di luar rumah pada waktu paling panas, terutama dari pukul
10 pagi hingga 4 petang,” katanya.


Ibu bapa pada masa sama perlu peka terhadap tanda keletihan dan strok
haba pada anak seperti sangat berpeluh, kekejangan otot dan pening.


“Jika melihat mana-mana gejala ini pada anak, dapatkan rawatan perubatan dengan segera,” katanya.


Dr Norazmir turut menambah, menu terbaik bagi menjaga kesihatan diri
di rumah terbuka semasa ‘musim’ strok haba ialah buah-buahan seperti
tembikai, strawberi, anggur dan oren yang dapat mengekalkan kelembapan
kerana kandungan air yang tinggi.


Selain itu sayur-sayuran seperti timun, tomato dan salad yang kaya
dengan air dan boleh membantu mengekalkan kelembapan serta minuman sejuk
seperti air limau, air kelapa dan teh ais dapat menyejukkan dan
memastikan badan sentiasa terhidrat.


Orang
ramai membanjiri rumah terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah
Hulu Langat di Taman Sri Nanding, Kajang pada 5 Mei 2023. Foto AHMAD
ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Godaan menu raya


Antara juadah popular yang dihidangkan ketika berkunjung ke rumah
terbuka sudah tentunya rendang, lemang, sate dan pelbagai kuih yang
membuka selera.


Namun begitu, sekiranya jumlah pengambilannya tidak dikawal, tidak mustahil seseorang itu berisiko mendapat penyakit tertentu.


Mengenai rendang yang bagi sesetengah orang adalah hidangan wajib
pada musim perayaan, Dr Norazmir menjelaskan, ia tinggi lemak tepu serta
kalori selain pengambilan secara berlebihan boleh menyebabkan individu
mengalami penambahan berat badan dan masalah jantung.


“Begitu juga dengan lemang. Walaupun ia hidangan yang lazat namun
tinggi kandungan karbohidrat dan kalori. Makan banyak lemang boleh
menyebabkan kenaikan gula dalam darah serta berat badan naik,” katanya
menambah, pengambilan sate yang berlebihan dan dagingnya yang berlemak
juga boleh menyebabkan seseorang mengalami masalah pencernaan.


Bagi kuih-muih pencuci mulut tradisional yang kebanyakan dibuat
menggunakan gula, tepung dan santan, ia mengandungi kandungan gula dan
kalori yang tinggi serta pengambilan berlebihan boleh menyebabkan
peningkatan paras gula dalam darah dan penambahan berat badan.


Selain itu, terdapat juga penyakit yang berpunca daripada makanan
tercemar akibat bakteria seperti Salmonella dan E. coli yang kerap
berlaku semasa musim perayaan disebabkan pencemaran semasa penyediaan
dan penyimpanan makanan.


“Bukan itu saja semasa tempoh ini penyakit menerusi jangkitan
pernafasan seperti selesema boleh berjangkit dengan mudah kerana tiada
penjarakan sosial.


“Ketika hari raya juga ramai yang akan merentas perjalanan sehingga
beberapa jam untuk pulang ke kampung halaman dan penyakit berkaitan
perjalanan seperti cirit-birit dan malaria berisiko dihidapi semasa
perjalanan ke kawasan atau rentas negeri yang berbeza,” katanya.


Dr Norazmir turut menambah, ‘sakan beraya’ juga boleh mengundang
penyakit berkaitan tekanan seperti sakit kepala, migrain dan masalah
pencernaan boleh berlaku disebabkan tekanan dan tuntutan musim perayaan
termasuk perjalanan, penganjuran acara dan menguruskan kewajipan
keluarga.


Justeru katanya, penting untuk masyarakat mengambil langkah
pencegahan seperti mengamalkan kebersihan, mengekalkan diet yang sihat,
menguruskan tahap tekanan untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit
semasa perayaan.


Semua orang berisiko


Individu yang sihat turut berisiko mendapat penyakit tertentu
sekiranya mereka tidak berwaspada dalam pengambilan makanan semasa hari
raya.


Mengulas perkara itu, Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains
Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Norsham
Juliana Nordin berkata, tabiat pemakanan semasa musim perayaan boleh
meningkatkan risiko terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).


“Penyakit tidak berjangkit adalah hasil daripada pendedahan
berpanjangan terhadap gaya hidup yang tidak sihat termasuk cara
pemakanan yang tidak seimbang. Situasi Aidilfitri yang biasanya disambut
sepanjang bulan Syawal dengan pelbagai jemputan untuk majlis
makan-makan boleh meninggalkan kesan berpanjangan terhadap kesihatan
kita.


“Contoh mudah adalah pengambilan gula tambahan. Bayangkan kita
menziarahi lima buah rumah untuk berhari raya dan di setiap rumah kita
akan minum minuman bergula, makan kuih raya yang pastinya tinggi
kandungan gula dan pelbagai lagi juadah berbentuk manisan.


“Sedar atau tidak kita mengambil gula tambahan melebihi keperluan
harian yang dibenarkan iaitu sembilan sudu kecil gula bagi seorang
lelaki dewasa dan enam sudu kecil bagi seorang wanita dewasa,” katanya.


Beliau berkata, NCD secara umumnya dikaitkan dengan tabiat makan
individu dan akan menjadi lebih buruk pada musim perayaan hasil daripada
gaya pemakanan yang tidak berhemah.


“Dua masalah yang paling terkesan semasa musim perayaan iaitu
peningkatan gula dalam darah yang membawa kepada penyakit kencing manis
dan peningkatan kolesterol dalam darah yang membawa kepada pelbagai
masalah jantung dan darah tinggi,” katanya.


Untuk itu setiap individu dinasihatkan ‘memilih makanan’ dengan tidak
terus mengambil dengan kuantiti yang banyak di samping memberi ruang
untuk diri merasa serba sedikit makanan yang ada.


“Pengambilan kita dikira berhemah apabila hidangan dalam pinggan
tidak menimbun dengan satu jenis makanan sebaliknya terdapat pelbagai
jenis dalam kuantiti yang kecil.


“Bagi individu yang sememangnya didiagnosis dengan penyakit kencing
manis, kuatkan diri anda untuk tidak mengambil makanan atau minuman yang
kita sedia maklum ditambah dengan gula tambahan,” katanya.


Tip sihat sepanjang raya


Bagi memastikan tubuh badan kekal sihat sepanjang raya, Dr Norsham
Juliana berkongsi beberapa panduan penting yang boleh diamalkan oleh
masyarakat antaranya membiasakan diri untuk “katakan tidak” kepada
minuman bergula sepanjang hari.


“Bagi individu yang terbiasa dengan minuman dengan gula tambahan,
mulakan amalan ini dengan pengambilan secara selang sehari, seterusnya
jarakkan masa untuk pangambilan minuman bergula. Selain itu amalkan
minum air kosong atau air tidak bergula terlebih dahulu setiap kali
sebelum makan dan berikan masa lima hingga 10 minit selepas minum
sebelum mula makan,” katanya.


Beliau menambah, cara untuk kekal sihat adalah dengan mengambil
makanan dalam kuantiti yang sedikit iaitu menghadkan satu atau dua item
sahaja daripada jenis yang sama.


“Pilih untuk makan buah-buahan dahulu sekiranya dihidangkan sebelum
mula makan hidangan lain. Makan dan kunyah dengan perlahan, usah gopoh
menghabiskan makanan. Sekiranya kita sebagai tuan rumah untuk majlis
Aidilfitri, pastikan kita menyediakan pilihan makanan sihat untuk
dihidangkan kepada tetamu.


“Hidangan seperti sayuran, ulam dan buah-buahan perlu menjadi
hidangan kemestian dalam majlis. Kurangkan penggunaan gula, minyak,
santan serta gunakan daging dan ayam tanpa lemak dalam masakan,”
katanya.


Beliau menambah, dalam kesibukan beraya sepanjang Syawal, luangkan
masa untuk melakukan aktiviti fizikal termasuk sekurang-kurangnya 20
minit setiap hari.


“Ia akan memberikan impak besar dalam diri kita. Semoga kita
sama-sama berusaha ke arah menjadikan budaya sambutan Aidilfitri di
Malaysia suatu amalan yang turut menitikberatkan gaya hidup sihat.


“Jadikan Aidilfitri kali ini detik terindah dengan kita kekal sihat
dan jangan biarkan kemeriahan Aidilfitri dijadikan alasan penyebab
kepada penyakit kronik yang berpanjangan,” katanya.


-BERNAMA