PETALING JAYA: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk meluaskan
program Menu Siswa Rahmah merangkumi universiti dan kolej swasta, kata
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.
Beliau berkata kementeriannya memerlukan masa untuk
berbincang dengan sektor pendidikan tinggi swasta dan meneliti bagaimana
skim makanan berpatutan ini yang hanya terdapat di institusi pengajian
tinggi awam, boleh diperluaskan.
“Saya
hanya dapat memberi tumpuan kepada institusi pengajian tinggi awam
sebelum Hari Raya Aidilfitri bulan lalu,” katanya dalam town hall yang
dianjurkan oleh Sinar Harian.
Salahuddin berkata demikian bagi menjawab soalan diajukan kepadanya
sama ada skim tersebut boleh diperluaskan untuk merangkumi institusi
swasta, memandangkan majoriti pelajar adalah dari golongan miskin atau
isi rumah B40.
Mac lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin telah menggesa
institusi pengajian tinggi swasta untuk menyediakan skim Menu Siswa
Rahmah kepada pelajar mereka.
Sementara itu, berkenaan dengan isu telur, Salahuddin berkata bekalan
telah pulih dan terdapat stok yang mencukupi di pasar raya dan kedai
runcit tempatan.
Bagaimanapun, beliau menambah, jika kementeriannya menerima aduan
tentang kekurangan bekalan itu di kawasan luar bandar, beliau akan
memastikan pegawai kementerian bertindak segera menyelesaikan masalah
berkenaan.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata beliau telah menulis kepada
Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberikan tanggungjawab sepenuhnya
kepada kementeriannya bagi urusan perniagaan francais, termasuk
pemindahan Perbadanan Nasional Bhd (Pernas).
Agensi yang mengkaji pembiayaan francais kini terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Beliau berkata, sementara menunggu maklum balas daripada
Anwar, kementeriannya akan terus melaksanakan program sedia ada untuk
pembangunan francais di mana ia boleh dilakukan kerana Akta Francais
Malaysia 1998 berada di bawah kementeriannya.
“Jika saya ingin menunggu Pernas dikembalikan, maka tidak
ada yang akan bergerak, jadi yang boleh kita lakukan adalah berbincang
dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk mengelak
pertembungan. Kami akan ‘work smart’,” tambahnya.

0 Komentar