Naratif berasaskan kaum mendahului senarai siaran media sosial
tempatan pada bulan-bulan menjelang pilihan raya umum tahun lalu,
dengan kebanyakannya disiarkan oleh ahli politik dan parti politik.

Ini
menurut analisis yang diterbitkan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), yang
bekerjasama dengan Universiti Nottingham Malaysia, Universiti Sains
Malaysia, dan Universiti Malaysia Sabah untuk mengumpul data melalui
projek pemantauan media sosial.

Laporan
mereka mendapati 66,933 hantaran di Facebook, Twitter, YouTube dan
TikTok antara tempoh 20 Okt dan 26 Nov 2022, adalah menyentuh tentang
isu perkauman.

Ia adalah yang tertinggi berbanding dengan naratif
lain seperti agama (24,484), sistem beraja (14,320), jantina dan LGBT
(7,596), serta mengenai pelarian dan pendatang (3,819).

Tarikh
20 Okt adalah hari Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh penting
bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada 19 Nov 2022.

Menurut
laporan itu, jumlah tertinggi hantaran mengenai isu kaum adalah
daripada parti dan ahli politik, dengan tiga watak utama tertinggi
adalah perdana menteri ketika itu Ismail Sabri Yaakob, ketua pembangkang
Anwar Ibrahim, dan PAS.

Gambar Hiasan - Ismail Sabri Yaakob

Ia
juga mendakwa bahawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan partinya adalah
pihak utama yang menggunakan isu kaum, dan mereka berjaya mempengaruhi
sejumlah besar pengundi dalam kalangan pengguna media sosial.

Bagaimanapun ini di sebalik Hadi hanya mempunyai jumlah hantaran media sosial yang paling rendah berbanding yang lain.

"Sebagai
contoh, hantaran TikTok Hadi yang mendakwa DAP menggunakan calon Melayu
mendapat 2.5 juta tontonan di TikTok, tertinggi di semua platform media
sosial," kata laporan itu.

Antara isu perkauman utama yang
dicetuskan semasa tempoh PRU15 adalah sentimen anti-Cina, ketuanan
Melayu, dan rusuhan kaum 13 Mei.

Gambar Hiasan - Abdul Hadi Awang

Laporan
itu mendakwa seolah-olah terdapat "usaha yang diselaraskan dengan baik
dan dibayar" di media sosial untuk mengundang kegentaran dan kebencian
anti-DAP dan anti-Cina, terutamanya menjelang hari pengundian.

Walaupun
naratif berasaskan agama menduduki tempat kedua dalam senarai dari segi
jumlah hantaran, namun pemantauan projek berkenaan mendapati ia menjadi
alat pemecah belah dan polarisasi utama semasa tempoh pilihan raya.

“Islam dijadikan senjata untuk menimbulkan rasa tidak selamat buat Melayu-Islam.

“Ia
sering tertumpu kepada keperluan syariah dan berkaitan dengannya,
undang-undang Hudud, dan desakan kontroversi Rang Undang-undang Pindaan
Akta 355 (RUU355) sebagai kunci untuk menegakkan prinsip Islam di
Malaysia.

“Ini seiring dengan serangan terhadap DAP sebagai ateis dan anti-Islam,” menurut laporan itu.

Ucapan
kebencian terhadap komuniti LGBT juga telah digunakan sebagai alat
politik, dan sebahagian besarnya digunakan untuk memburukkan Pakatan
Harapan (PH), DAP, dan Anwar.

Analisis itu turut menyentuh video
bekas perdana menteri dan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang
mendakwa sekumpulan Yahudi dan Kristian sedang berkomplot untuk
membolehkan PH memerintah Malaysia.

Walaupun ia hanya muncul menjelang akhir tempoh kempen PRU15, CIJ berkata pengaruh video itu tidak ketara.

Gambar Hiasan - Muhyiddin Yassin

“Malah
pengguna media sosial, termasuk dari Sabah dan Sarawak, tampil
membidasnya kerana menyebarkan maklumat palsu,” kata laporan itu.