Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa Pulau Pinang masih hak Kedah.

Anwar
berkata sebagai seorang menteri besar, Muhammad Sanusi seharusnya
terikat dengan aspek perundangan dan faham mengenai Perlembagaan.

“Kadang-kadang bila seorang pemimpin berucap dia kena faham Perlembagaan, dia kena faham perjanjian.

“Walaupun
ada perjanjian 300 tahun dulu, 1,000 tahun dulu, dia ada perjanjian
terakhir penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan itu jelas.

“Nak
ucap dari segi sandiwara politik itu soal lain tetapi sebagai seorang
menteri besar, saya fikir wajar terikat dengan perundangan,” katanya
kepada media selepas merasmikan Seminar Fikrah Siddiq Fadzil di Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Anwar berkata setiap pemimpin
perlu menghormati perjanjian Perlembagaan yang telah diperkenan oleh
semua Raja-Raja Melayu termasuk Sultan Kedah dalam isu tersebut.

Semalam,
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata Kedah dan Pulau Pinang tidak ada
sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah dan beliau mendakwa Kedah
hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis.

Dalam
perkembangan lain, Anwar berkata mengenai dakwaan kononnya terdapat
tawaran kepada PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, ia tidak pernah
dibincangkan dalam pucuk pimpinan.

“Saya
tidak dimaklumkan sama sekali. Saya tidak tahu siapa, ketua ranting ke
yang sampaikan, saya tidak tahu, yang penting bukan daripada saya, bukan
dari pimpinan,” kata Anwar. 

Ditanya sama ada dakwaan itu
dikeluarkan oleh ahli PAS sendiri, Perdana Menteri berkata:  “Itu tanya
dia lah. Tidak sampai dan tidak pernah dibincang oleh pimpinan yang saya
tanya dalam PH (Pakatan Harapan) atau dalam BN (Barisan Nasional)”. 

Sabtu
lepas media melaporkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata
pihaknya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun tetapi
tawaran berkenaan mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala
tuju PAS.

-Bernama