PUTRAJAYA: Pengerusi Barisan Nasional Zahid Hamidi akui beliau sudah
serik dengan PAS yang baru-baru ini mendakwa ia ditawar untuk menyertai
kerajaan perpaduan.
Beliau yang juga presiden Umno berkata 19 pemimpin
parti-parti kerajaan perpaduan tidak pernah bincang untuk membuat
tawaran kepada PAS.
“Tidak
ada parti dalam kalangan kami percaya dengan mereka sebab mereka tidak
kotakan janji, ikrar, dan piagam yang telah dipersetujui,” katanya pada
sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan.
“Secara peribadi saya serik dengan parti berkenaan.”
Kerajaan perpaduan dibentuk oleh Barisan Nasional, Pakatan Harapan,
Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, serta beberapa parti
lain.
Presiden PAS, Hadi Awang, pada Sabtu mendakwa beliau dihubungi ‘orang
tertentu’ beberapa kali yang menawarkan kerjasama dalam kerajaan
perpaduan.
Beliau bagaimanapun mempersoalkan tawaran itu dan berkata sepatutnya
ia memberi “kelebihan kepada PAS” kerana mempunyai kerusi yang lebih
berbanding parti lain.
Dakwaan Hadi bagaimanapun membingungkan pelbagai pihak. Beberapa hari
kemudian, timbalan Hadi, Tuan Ibrahim Tuan Man, mendakwa beliau juga
dihubungi bagi tujuan sama, namun PAS ingin kekal bersama Perikatan
Nasional.
Zahid meminta semua pihak melupakan dakwaan PAS itu.
“Jika ada pun yang dakwa kononnya bertemu dengan pemimpin
atau lapisan kepimpinan parti berkenaan itu…kami tidak anggap sebagai
satu perjumpaan rasmi,” katanya.

0 Komentar