Di kala Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kebebasan media
dalam mengkritik kerajaan, media barat yang telah lama mengamalkan
kebebasan ini tetapi pada masa sama mengenepikan prinsip berasaskan
nilai dan akhlak dalam pemberitaan mereka, khusus dalam liputan ke atas
negara asing.
Ini dapat diperhatikan
dalam liputan dan laporan media barat yang berat sebelah serta tidak
objektif sebelum dan semasa pilihan raya Turkiye baru-baru ini.
Pemberitaan media barat dalam pilihan raya Turkiye seolah-olah sebagai media pembangkang di Turkiye.
Bahkan beberapa bulan sebelum pilihan raya, Majalah berpengaruh The Economist
membuat liputan khas mengenai pilihan raya Turkiye dengan memberitahu
rakyat Turkiye bahawa Erdogan harus pergi. Malah majalah tersebut
menggesa rakyat Turkiye mengundi calon pembangkang demi menyelamatkan
demokrasi dan menuduh dia yang memerintah selama 20 tahun itu memimpin
dengan cara autokratik.
Tanpa
mempedulikan pencapaian Erdogan selama 20 tahun memerintah Turkiye
(walaupun sekarang berhadapan penurunan mata wang dan kadar inflasi yang
tinggi), akhbar British The Independent dan Guardian, akhbar Peranchis Le Poin dan Le Monde, akhbar AS seperti New York Times dan Wall Street Journal serta majalah New Yorker telah
membelakangkan etika kewartawanan dan seolah-olah berkempen dalam
pilihan raya Turkiye ini dengan membuat dakwaan-dakwaan yang menentang
Erdogan dan mempromosikan Kilicdaroglu.
Satu artikel yang disiarkan Associated Press
dan digunakan oleh media Eropah lain telah mengibliskan Erdogan dan
memperkenalkan pesaingnya dalam pemilihan presiden sebagai penyelamat
Turkiye daripada “diktator” Erdogan.

Setelah
memasuki pilihan raya undian kedua pada 28 Mei lepas selepas penyandang
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan pesaingnya, Kemal
Kilicdaroglu tidak melepasi jumlah 50 peratus undian untuk memenangi
pilihan raya, ternyata barat dan medianya telah gagal mempengaruhi
rakyat Turkiye supaya mengundi calon pembangkang.
Dalam pilihan raya kedua Presiden Turkiye, Erdogan menang sekali gus melanjutkan pemerintahannya untuk lima tahun lagi.
Lembaga
Pilihan Raya negara itu mengesahkan dengan 99 peratus undi selesai
dikira, kiraan rasmi menunjukkan Erdogan peroleh 52.14 peratus sokongan.
Kita
dapat menilai betapa penting pilihan raya Turkiye kepada barat dan ia
mendapat perhatian sebahagian besar media di san. Walaupun ratusan
kakitangan media barat memiliki kebebasan capaian dan kebebasan
melaporkan, bahkan menghadiri perhimpunan awam politik, jika diteliti
naratif dan wacana mereka mengabaikan budaya politik Turkiye.
Pembingkaian berita pilihan raya Turkiye dalam persaingan kerusi presiden antara Erdogan dan Kılıçdaroğlu tertumpu kepada pertarungan antara demokrasi dan kediktatoran.
Bahkan seperti dijelaskan di atas, majalah The Economist membuat pendulu berita yang tertumpu kepada perkara di atas, antaranya single element lead, juga what lead, who lead, when lead dan where lead.
Dalam
pemberitaan, kesemua pendulu termasuk pendulu naratif yang mereka
gunakan dengan penuh keyakinan berbentuk kewartawanan payung terjun atau
serbu tembok, dengan harapan fokus kepada sekularisme dan liberalisme
akan mempengaruhi rakyat untuk mengundi pembangkang.
Liputan
mereka seolah-olah menggambarkan suasana liberalisme dan sekularisme di
Istanbul dan kekuatan Kılıçdaroğlu mewakili seluruh Turkiye, dan
Turkiye hanya terdapat di Istanbul.
Corak
pemaparan berita mengambil bentuk kewartawan payung terjun atau serbu
tembok ini tertumpu kepada pembangkang mewakili demokrasi dan penyandang
presiden sebagai diktator, mengabaikan aspek-aspek lain yang menjadi
keutamaan rakyat Turkiye.

Satu
perkara lagi, tumpuan berita juga dirumuskan kepada masalah dan kemelut
ekonomi. Mereka mengenepikan isu nasionalisme, faktor penting yang
mencetuskan kesedaran rakyat Turkiye.
Bahkan
jika diperhatikan gabungan pembangkang tidak mempunyai pendirian
sepenuhnya dalam isu kritikal seperti keselamatan negara, industri
pertahanan dan antikeganasan.
Bahkan
terdapat parti pembangkang yang dikaitkan dengan pertubuhan yang
didakwa ada unsur keganasan, PKK (Parti Pekerja Kurdistan).
Dakwaan-dakwaan ini menjejaskan sokongan rakyat Turkiye kerana tidak
memberikan perhatian kepada isu nasionalisme dan keselamatan negara.
Contohnya
salah seorang pemimin parti pembangkang telah menyentuh isu sensitif
negara dengan membuat kritikan ke atas pengswastaan Baykar, sebuah
syarikat dalam industri pertahanan nasional Turkiye. Kenyataan sebegini
tentunya mendatangkan kehilangan sokongan rakyat Turkiye kepada
kepimpinan Kilicdaroglu yang dilihat tidak mengutamakan keselamatan
negara.
Saya
teringat kepada kata-kata sarjana poliitk antarabangsa John Mearsheimer
bahawa nasionalisme adalah lebih utama daripada ideology. Penekanan
Kilicdaroglu kepada tema-tema nasionalisme menjelang undian pusingan
kedua sudah terlambat.
Setelah keputusan undian pertama disiarkan, Kilicdaraglu menukarkan tema kempen kepada ‘No East No West’, seolah-olah menyamai polisi Erdogan yang menyeimbangkan dasar luar yang tidak bersujud kepada barat.
Video
dan slogan yang menekankan kepada nasionalisme sudah agak terlambat dan
dia serta media barat sudah menyeleweng dalam memberikan penekanan
semasa pilhan raya. Rakyat Turkiye sudah dapat menghidu seolah-olah
wujudnya hubung kait dalam hubungan perikatan pembangkang dengan media
barat dalam kempen pilihan raya di negara mereka.
Kestabilan
dan sentimen nasioalisme dalam kalangan masyarakat Turkiye terutamanya
di wilayah-wilayah sebelah Asia dan kawasan yang ditimpa gempa bumi dan
tingkah laku pengundi merupakan faktor-faktor kritikal yang diabaikan
media barat.
Sebaliknya
media barat menumpukan kepada isu demokrasi dan kediktatoran serta
masalah ekonomi, tanpa membuat penyelidikan dengan lebih mendalam dan
mencorak pemberitaan serbu tembok dengan pemihakan keterlaluan kepada
Kilicdaroglu dan Istanbul.
ISMAIL HASHIM YAHAYA ialah pemerhati isu geopolitik dan perhubungan antarabangsa.

0 Komentar