Oleh IMLAN ADABI 

Sahabat yang sudah lama menjauh, tiba-tiba menelefon.

"Kawe terbit kumpulan puisi terbaharu, harap demo tolong support RM30. Harga anak beranak".

Dia
ketika itu 'mengejar' kemeriahan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
(PBAKL) pada  26 Mei hingga 4 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala
Lumpur (WTCKL).

Bagi kebanyakan penulis, PBAKL adalah tempat untuk
menjaja karya kerana selain itu lazimnya tiada lagi ruang untuk penulis
bertemu pembeli buku dengan meriah.

Selepas
Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) mengurangkan operasi,
penulis menjadi seperti anak ayam kehilangan ibu kerana terpaksa
mencari-cari dana untuk menerbitkan buku.

Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) semata-mata tidak mampu menampung lambakan manuskrip yang banyak
dan itu memaksa penulis menerbitkan sendiri karya masing-masing.

Sejak
tiga tahun lalu ramai yang mengumpulkan wang sekali gus mengumpul karya
untuk diterbitkan. Sasaran mereka ialah PBAKL yang menjadi sandaran
memasar dan mempromosikan karya.

Gagal mengajar masyarakat

Apabila
buku tersebut tidak mendapat sambutan, ramai juga penulis yang
berhutang dengan kawan-kawan yang menjadi penerbit berskala kecil.

Dalam
kalangan penulis marhaen, kerja menerbit buku adalah bebanan yang
berat. Bukan sahaja kos cetak perlu diutamakan, bahkan kaedah untuk
memasarkan karya.

Hanya berharap kepada simpati rakan penulis untuk mengurangkan bebanan tiada menjaminan pulangan modal.

 Sehingga
kini nasib penulis tidak terbela kerana tiada siapa yang mampu melihat
keadaan mereka. Persatuan penulis lebih kepada sekadar sorak-sorai
sastera yang menghimpunkan pembodek yang menggunakan acara tersebut
untuk menonjolkan diri sendiri.

Birokrat seni pula sekadar menjadi agensi yang tidak jelas fungsi mereka.

Isu
sastera dan penerbitan karya bukan masalah baru di negara ini. Sejak
awal merdeka kesusasteraan kita tidak pernah dianggap penting dalam
perancangan pembangunan nasional.

Kerajaan
mungkin boleh berbangga kerana mendirikan Muzium Sastera di Melaka
namun penubuhannya tidak ubah seperti sebuah gudang menyimpan buku lama
dan tidak berupaya mengajar masyarakat mencintai sastera.

Program
mengembangkan seni dan budaya juga bagai hal pinggiran apabila
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya lebih mengutamakan ikhtiar
menarik pelancong.

Keadaan
itu sekali gus mengabaikan perkembangan kebudayaan dan kesusasteraan
sebagai wadah pengucapan intelektual bangsa Malaysia.

Lebih malang
apabila tiada program memperkenalkan sastera kepada pelancong asing
apabila mereka dibiarkan untuk leka mendongak ke arah puncak Menara
Berkembar Petronas, belayar di sepanjang Tasik Putrajaya atau berjemur
di pasir pantai Langkawi.

Tidak berlaku di Malaysia

Sejak
awal lagi ada pihak  yang meragui kewujudan kementerian yang
menggabungkan hal pelancongan dan kebudayaan sekali gus. Ia tidak wajar
dan tidak menunjukkan iltizam kerajaan.

Hal itu kerana sektor
pelancongan lebih mengutamakan material berbanding kebudayaan yang
menjadi ramuan penting sebagai santapan minda.

Malangnya hal itu dibiarkan.

Jika
negara lain berbangga dengan karya sastera dan budaya masing-masing,
kita pula lebih berahi bercakap mengenai industri pelancongan yang
sekadar melawat kawasan gunung, pantai, menara pencakar langit, pusat
beli-belah dan Batu Caves.

Di luar negara, pengunjungnya kerap
dihidangkan dengan pelbagai maklumat mengenai seni setempat termasuk
apabila mengunjungi rumah kelahiran penulis tersohor atau pusat
pengajian yang mendidik mereka.

Muzium Sastera memaparkan karya
sebagai rujukan kehadiran sasterawan besar sesebuah bangsa. Ramai
pelancong menghargai apa yang dilakukan  di Scotland dan Ireland, tapi
tidak di Malaysia!

Di Edinburgh misalnya, stesen kereta api utama dinamakan Edinburgh Waverly Station. Waverly ialah nama novel Sir Walter Scott, pengarang besar Scotland yang turut menulis Ivanhoe.

Lebih menarik lagi, novel Waverly boleh dibeli dengan mudah di mana-mana kedai buku di sekitar Edinburgh, hatta di kedai runcit!

Di
Lake District, sebuah daerah Barat Laut England, sastera menjadi
 tarikan apabila nama Samuel Taylor Coleridge, Beatrix Potter dan
William Wordsworth  dipaparkan sebagai The Lakeland Poets.

Tempat wajib lawat

Ramai sasterawan Malaysia yang ke sana pasti tidak akan melepaskan peluang menikmati karya besar Inggeris.

Muzium
yang dinamakan Dublin Writers Museum menjadi tarikan di Dublin. Ia
menyimpan karya berharga selain bahan peribadi penulis. Antaranya mesin
taip, pena, manuskrip, buku serta alat yang berkaitan dengan George
Bernard Shaw, Oscar Wilde, James Joyce dan  WB Yeats.

Begitu juga
 Stratford-upon-Avon yang amat sinonim dengan Shakespeare atau rumah
Charles Dickens di London, atau 221B Baker Street, London yang menjadi
kediaman watak Sherlock Holmes karya Arthur Conan Doyle,

Begitu juga Bath di England yang diabadikan oleh Jane Austen di dalam novel Persuasion dan Northanger Abbey.

Malangnya
karya A Samad Said, Anwar Ridhwan, Usman Awang dan  S Othman Kelantan
tidak diketahui pelancong kebanyakan. Ia hanya dikenali segelintir
pengkaji seni Barat.

Dalam hal ini peranan kementerian bukan sekadar mempamerkan karya, sebaliknya membawa pelancong mendekati karya tempatan.

Agensi
pelancongan pula perlu mencatatkan kunjungan ke Muzium Sastera sebagai
satu daripada rangka lawatan wajib pengunjung di Malaysia.  

Namun
pada masa sama muzium itu yang terletak di bangunan lama Perbadanan
Kemajuan Negeri Melaka pula masih jauh daripada kesempurnaan.

Muzium berkenaan menyimpan sejarah penulisan dan pengkaryaan bermula dari era awal cerita-cerita rakyat, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hukum Kanun Melaka, Munsyi Abdullah dan beberapa karya moden.

Untuk
yang terlupa atau terlepas pandang, pesta buku sedang berlangsung di
Kuala Lumpur sekarang. Selamat berpesta. Dan selamat mengemis juga
kerana pengemisan seni mungkin sebahagian daripada agenda PBAKL!


IMLAN ADABI ialah mantan wartawan Berita Harian dan penulis yang tiada kluster mahupun kasta.