Oleh HASMI HASHIM 

 PAS begitu galak mahu menawan Selangor. Kempen dilancarkan, dengan slogan “Selangor baru”.

“Baru” dalam konteks PAS ialah satu undi kepada PN, maka setapak untuk menjadikan Selangor jadi Kelantan.

Selangor
penting untuk masa depan PAS. Negeri ini negeri kaya, justeru kekayaan
Selangor perlu demi menjamin survival politik PAS—kerana parti itu bukan
lagi “parti tin Milo”.

Sekarang PAS parti yang mahal. Mungkin
sahaja antara parti yang termahal di negara kita dengan kos operasi yang
semakin tinggi. PAS punya bangunan berjuta ringgit di ibu kota, punya
kakitangan ibu pejabat dan pejabat-pejabat di seluruh negara.

Terlebih
menjadikan PAS parti yang mahal apabila pemimpin utamanya tempohari
juga sempat memegang jawatan utama di dalam kerajaan dan GLC.

Apabila
PN gagal merampas kerajaan persekutuan buat kali kedua dalam PRU lalu,
keselesaan berkenaan tidak boleh terhapus begitu sahaja.

Setiap
pemimpin utama PAS tentu sudah mempunyai pelbagai komitmen, daripada
yang bertujuan untuk parti sehinggalah keselesaan diri sendiri.

Paling
tidak, komitmen ansuran bulanan kereta-kereta, rumah-rumah, bil-bil
lain selain program politik. Dalam tempoh singkat 31 bulan berkuasa sama
ada di bawah perdana menteri Muhyiddin Yassin atau Ismail Sabri, ada
yang sempat menukar kereta dan membeli rumah baru.

Sekarang
apabila sudah tidak lagi jadi menteri, duta atau pengerusi GLC,
takkanlah mereka mahu menggadai kesemuanya kembali kepada bank.

Tentu
pemimpin PAS perlu berusaha untuk mengekalkan gaya hidup dan apa sahaja
yang boleh diselamatkan—cara paling ‘afdal’ ialah dengan merebut lubuk
emas Malaysia, yakni Selangor!

Meskipun sukar, PAS nampaknya
terdesak untuk mengalahkan PH di samping secara senyap mampu
mengenepikan pula rakan kongsinya sendiri, iaitu Bersatu yang juga
bercita-cita mahu menjadi MB dan mengemudi Selangor.

PAS cukup
kenal pemain politik Bersatu di Selangor. Kempen “Selangor untuk anak
Selangor” bukan sangat dihalakan kepada PH, tetapi mahu menyinggung
Bersatu yang juga berkemungkinan menampilkan mantan menteri besar
sebagai calon MB. Calon berkenaan khabarnya lahir di Singapura.

Sentimen anak negeri

Sepertimana
di Kedah, Terengganu dan Kelantan, PAS percaya sentimen anak negeri
boleh dijual di Selangor. Di mata PAS, Selangor sama sahaja seperti
ketiga negeri yang masih dikuasai mereka.

PAS menganggap, 99.9
peratus penduduk Selangor memang asal Selangor. Mereka sebenarnya tidak
sedar, 60-70 peratus penduduk Selangor ialah anak dagang atau orang
luar.

Daripada baki 30-40 peratus anak Selangor, 10-15 peratus pula adalah daripada ibu-bapa yang juga bukan berasal dari Selangor.

Bandaraya Petaling Jaya.

Hal
inilah yang menjadikan Selangor negeri maju yang bersifat kosmopolitan.
Kalau Selangor negeri mundur, tiada siapa yang mahu datang dan
berhijrah ke sini.

Sekiranya sesebuah negeri itu dihuni hampir 100
peratus anak tempatan sahaja, maka itulah petanda negeri berkenaan
negeri mundur.

New York, London, Dubai, Singapura, Jakarta (hanya
menyebutkan beberapa contoh), kesemuanya dihuni lebih ramai orang luar.
Presiden Indonesia, Joko Widodo yang pernah menjadi wali kota Jakarta
bukanlah anak jati Jakarta. Dia orang Solo, lahir di Surakarta.

Selangor
pula sebuah negeri yang hampir menjadi “negeri kota” di mana banyak
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah bertaraf bandar mahupun bandaraya.
Hanya di Selangor ada tiga PBT yang bertaraf bandaraya iaitu Petaling
Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam.

Bandaraya Shah Alam.

Tinggal satu sahaja PBT yang bertaraf daerah (Sabak Bernam), sementara baki lapan PBT bertaraf perbandaran.

Ada dua lagi yang bila-bila masa boleh dinaik-taraf menjadi bandaraya iaitu Klang dan Ampang.

Dalam tempoh kurang 10-15 tahun lagi, beberapa PBT juga akan bertaraf bandaraya seperti Puchong, Bangi dan Sepang.

Status
ini menunjukkan Selangor akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang
bertaraf “negeri kota”. Konsep negeri kota itu menyerupai sahaja dengan
konsep klasik “negara kota” yang menjadi asas kepada kegemilangan banyak
kerajaan di dunia sejak dahulu.

PASpakai sondol’ saja

Dari
Srivijaya, Mahapahit, Pattani dan Melaka, semuanya merupakan empayar
negeri kota. Begitu juga di Eropah, seperti kerajaan Yunani dan Rom.
Terlebih lagi dalam sejarah tamadun Muslim dari Mekah dan Madinah; dari
Abassiyah ke Uthmaniah—semua itu merupakan empayar yang berasaskan
negeri atau negara kota.

Visi ke depan bagi Selangor ialah
menjadikan negeri ini sebagai negeri kota pertama di Malaysia. Dari sana
Selangor bakal muncul sebagai kuasa ekonomi yang sekaligus menjadi
teras tamadun Malaysia moden.

PAS buta dengan semua fakta ini.
Mereka main ‘pakai sondol’ saja. Isu anak jati lawan anak dagang yang
cuba dimainkan oleh MB Kedah, Sanusi Md Nor tempohari, ibarat mahu
menarik Selangor ke belakang menjadi sepertimana mundurnya negeri-negeri
yang masih dikuasai PAS yang lain.

Sentimen berkenaan hanyalah kepanjangan daripada sentimen kaum yang selalu menjadi mainan parti berkenaan.

PAS
tidak pernah ada rekod berjaya memajukan mana-mana negeri. Ketika PAS
mentadbir sesebuah negeri, negeri berkenaan menjadi semakin mundur dan
menyiksakan. Apabila dikritik, dalil dan ayat Quran melimpah menjadi
‘banjir’ yang menutup kelemahan dan kecuaian mereka.

Faktor yang
memundurkan negeri-negeri di bawah pentadbiran PAS, seperti Kedah,
Terengganu dan Kelantan adalah pemikiran jumud dan tingkah laku angkuh
pemimpin mereka sendiri.

Mustahil dengan faham aliran keras agama
dan cenderung menjadi puak pelampau kaum, PAS boleh memajukan serta
memberi kemakmuran ke manapun negeri yang ditadbirnya.

Gambar hiasan, Kota Bharu.

Tidak kisahlah sama ada negeri itu majoritinya orang Melayu atau masyarakat pelbagai kaum yang berimbang.

Kelantan
contoh ‘terbaik’ yang sekaligus menyayat hati. Kelantan puluhan tahun
lalu tidaklah begitu ketingggalan jika dibandingkan dengan Kelantan hari
ini.

Misalnya, Terminal Bas Kelantan di Kota Bharu pada 1980-an
adalah setaraf atau sama sahaja dengan terminal bas di negeri-negeri
lain.

Kini, melalui sekeping foto yang tukar di media sosial,
terminal yang dahulunya dua tingkat, tinggal setingkat sahaja:
bertiangkan besi, tidak berdinding dan beratap zink.

Jika PAS perintah, apa jadi S’gor 10 tahun lagi

Jalan yang dahulunya besar, kini juga semakin sempit.

Cuba
bayangkan bagaimanakah terminal di Seksyen 17, Shah Alam akan menjadi
begitu lima ke sepuluh tahun akan datang kalau PAS memerintah Selangor?
Nauzubillahiminzallik! Semuga dijauhkan.

Saya amat takut bila
memikirkan, bagaimana nanti nasib anak-anak kami di Selangor terpaksa
berhijrah mencari rezeki di Johor, Melaka atau Sarawak?

Apabila
tiba hari raya, bersama keluarga mereka tidak terpaksa merempuh jem
berjam-jam untuk pulang ke Subang Jaya atau Shah Alam.

Gambar hiasan, kesesakan lalu lintas di lebuh raya.

Keadaan
berkenaan tidak mustahil berlaku kalau PAS menawan Selangor dalam PRN
nanti, dan kekal menjadi kerajaan selama 30 tahun sepertimana di
Kelantan.

Turut menakutkan apabila pada hari raya tahun depan,
orang Selangor terpaksa menadah tong-tong hitam depan rumah kerana
bekalan air terputus serta ampangan kering seperti apa yang terjadi di
Kedah.

Kalau dibiarkan, mungkin penduduk di Sabak Bernam, Tanjung
Karang atau Hulu Langat pula mulai mendapat air ‘teh tarik percuma’
yang disalurkan melalui batang paip ke rumah-rumah mereka.

Bukankah lebih baik kalau Kedah, Terengganu dan Kelantan itulah yang sewajarnya diubah segera menjadi negeri maju yang makmur?

Tak boleh tangguh lama lagi

Anak
rantau Kelantan yang kini menetap di “Shah Ale” atau “Kaje” perlu ikut
bertanggungjawab. Usah lagi selesa di negeri orang, tetapi pulang nanti
memangkah ‘bulan’ sehingga menyiksa keluarga di kampung halaman.

Saya
yakin, pengundi-pengundi Kelantan yang menetap di Kelantan sudah tidak
sanggup lagi hidup tanpa pembelaan—dan mereka mahukan perubahan.

Kita
tidak boleh membuat keputusan hanya atas sentimen “parti Isle” membela
“Isle”. Islam bukan untuk ditunggangi; bukan untuk digunakan bagi
menakut-nakutkan orang Melayu bahawa mengundi PAS menjamin kita ke
syurga.

Politisasi agama dan pembodohan sebegitu sudah berlarutan
berpuluh-puluh tahun dan perlu dihentikan segera—di dalam PRN kali ini!

Perubahan
untuk Kelantan, Terengganu dan Kedah memang bukan mudah, tetapi ia
tidak boleh ditangguh-tangguh lebih lama. Kalau boleh selesaikanlah
sekali ini, dan buat selama-lamanya.


HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik dan penyokong kuat PKR.