KUALA LUMPUR: Selepas tiga bulan bergelar penyampai radio HotFM
dengan mengendalikan segmen Bekpes Hot bersama rakan penyampai, AG,
Johan dan Fara Fauzana, kontrak bekas Menteri Kesihatan, Khairy
Jamaluddin, 47, disambung hingga Disember depan sejak Isnin lalu.
Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM, Digital & Audio+, Shah
Hayatudin berkata, tempoh tugasan Khairy atau lebih mesra disapa KJ di
konti akan dilanjutkan dari sejam kepada dua jam.
"Berita baik adalah KJ akan bersama dengan Hot FM sehingga hujung tahun ini.
"KJ tetap bertugas pada setiap Isnin, tetapi tempohnya akan dipanjangkan selama dua jam.
"Bagaimanapun, tidak semestinya KJ akan bertugas pada Isnin sahaja. Jika ada program khas memerlukan khidmatnya, KJ akan muncul.
"Sebelum ini, tugas KJ bermula jam 8 pagi, tetapi bermula Isnin lalu,
jadualnya dipercepatkan iaitu antara jam 7 hingga 9 pagi," katanya pada
sidang media Majlis Rumah Terbuka Hot FM dan Buletin FM, hari ini.
Selain kemunculan KJ dan rakan penyampai Hot FM dan Buletin
FM, Majlis Rumah Terbuka Hot FM itu turut diserikan dengan kehadiran
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran.

bersama rakan penyampai segmen Bekpes Hot, Fara, AG dan Johan di
Majlis Rumah Terbuka Hot FM dan Buletin FM, hari ini. - NSTP/Hazreen
Mohamad
Sementara itu, Nazri berkata, kemunculan KJ sebagai penyampai radio memberi impak cukup besar kepada stesen radio popular itu.
"Sejak KJ menyertai Hot FM pada Februari lalu, impaknya sangat
ketara. Apabila beliau tidak ke udara, ramai pendengar mula tanya-tanya.
"Meskipun wujud banyak platform disebabkan perkembangan teknologi,
namun radio tetap ada pengikut tersendiri kerana menyediakan hiburan
diperlukan," ujar Nazri.
Mengulas kontrak dilanjutkan, KJ menzahirkan ucapan terima kasih kepada MPA atas kepercayaan yang diberikan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Hot FM, MPA dan rakan penyampai kerana mengalu-alukan kehadiran saya.
"Memandangkan saya diterima dengan baik, jadi kami sama-sama
bersetuju melanjutkan peranan serta penyertaan saya di slot Bekpes Hot
hingga hujung tahun ini.
"Saya berharap Hot FM secara keseluruhannya menjadi stesen radio pilihan anda semua," kata KJ.
Pada 15 Februari lalu, MPA mengumumkan Hot FM merekodkan peningkatan
75 peratus pendengar dalam tempoh sejam melalui penstriman langsung
digital Hot FM di hotfm.audio dan aplikasi Audio+, berikutan penangan
hari pertama KJ melapor diri sebagai penyampai di stesen radio popular
itu.

0 Komentar