Oleh Prof Dr P Sivamurugan -
KERAJAAN Perpaduan terbentuk hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan
Agong untuk memastikan politik negara stabil, Parlimen tidak tergantung
dan kerajaan didirikan dengan licin, tersusun dan lancar.
Kerajaan Perpaduan kini merangkumi penggabungan blok Pakatan Harapan
(PH) memiliki 82 ahli Parlimen, 30 Barisan Nasional, 23 ahli Parlimen
Gabungan Parti Sarawak (GPS), enam dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan
tiga dari Parti Warisan (WARISAN).
Ia termasuk satu ahli Parlimen masing-masing dari Parti Ikatan
Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat
(KDM), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas membawa kepada sejumlah 148
kerusi Parlimen, kerajaan campuran berpusatkan penggabungan besar atas
dasar 'kesefahaman politik'.
Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan untuk memulihkan semula keyakinan
dan kepercayaan rakyat ke atas institusi kerajaan, struktur sosial dan
pelan ekonomi tanah air. Oleh kerana ini adalah kerajaan luar biasa,
dinamika politik Malaysia menyaksikan pendekatan dan tindakan tidak
pernah diramal sama sekali.
Selepas enam bulan terbentuk, dilema mula menggari pemikiran
kepemimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan, khasnya apabila bakal
berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ini membabitkan kepimpinan pertengahan, akar umbi dan pengundi
sendiri yang mempunyai kecenderungan berbeza apabila mengundi. Ada yang
melihat kepada calon, isu ataupun kesetiaan pada parti.
Sejauh manakah aliran sokongan selama ini mempunyai nilai kesetiaan
yang tinggi kepada parti khasnya UMNO, bersedia untuk menyokong calon
dari parti pernah dibenci, dihina, diaib, dimalukan dan dikhuatiri
kewibawaannya disebabkan perubahan ke atas penggabungan blok parti
campuran di peringkat Persekutuan.
Slogan dilaungkan sebelum ini - 'lawan tetap lawan' kini menjadi
'dulu lawan sekarang kawan' di bawah panji Kerajaan Perpaduan kini
menguntungkan siapa?
Kolaborasi dalam Kerajaan Perpaduan ini barangkali baharu kepada
UMNO yang tidak pernah bekerjasama dengan DAP berbanding DAP yang pernah
bekerjasama dengan PAS, PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan BERSATU
sama ada dalam Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat (PR) dan kini PH.
Bagi UMNO, bekerjasama dengan PH terutama apabila terkait dengan DAP
dianggap sesuatu yang sukar dan ini diakui sendiri Presidennya, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, namun tiada yang mustahil dalam politik.
Dalam politik tidak ada musuh atau lawan kekal, tetapi hanya ada
kepentingan. Apatah lagi politik adalah seni segala kemungkinan, tetapi
yang penting memiliki 'angka' utuh di Parlimen untuk menjadi kerajaan
pemerintah.
Era kini, slogan No Anwar, No DAP dilihat tidak relevan lagi kerana
yang menerajui Kerajaan Perpaduan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan
DAP sebahagian daripada kerajaan pimpinan beliau bersama BN/UMNO. Begitu
juga slogan 'Asal Bukan UMNO' atau Anything But No BN.
Psikik pengundi sukar dibaca
Hakikat perlu diakui, PH dan BN hari ini adalah sekutu baharu
dijenamakan sebagai 'kawan'. Maka kedua-duanya mesti berhati-hati supaya
tidak berlaku 'kawan makan kawan'.
Apa yang menjadi perhatian adalah sentimen dan psikik akar umbi
serta pemimpin pertengahan terhadap kerjasama serba baharu ini, terutama
bagi UMNO.
Sama ada di pihak UMNO atau DAP, ada yang boleh menerima dengan mudah
kerjasama baharu ini, tetapi ada juga masih memperlekehkan dan
mempersoal bagaimana hendak memangkah parti dianggap 'musuh ketat'
selama ini.
Mendepani isu ini, adakah pengundi UMNO sedia berubah? Pemindahan
aliran sokongan lebih mudah jika mengguna logo sama untuk menampakkan
'kebersamaan' dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi bagi sebilangan masih
fobia dengan logo parti kerajaan campuran ini khasnya 'Roket',
kecenderungan orang UMNO untuk tidak keluar mengundi atau melakukan undi
protes agak besar.
Psikik pengundi sukar dibaca, namun ia memerlukan kompromi dan
pengorbanan besar daripada semua parti jika mahu meraikan perbezaan dan
menebus persamaan di sebalik perbezaan ideologi perjuangan.
Bucu yang menjadi penghalang selama ini adalah 'pengurusan
persepsi'. Ini perlu ditangani dengan kemas, bijak dan peka kepada
sensitiviti ahli, penyokong dan pengundi.
Dalam hal ini, kesungguhan kepemimpinan atasan parti gabungan
Kerajaan Perpaduan membawa naratif baharu - 'sokong DAP, Pangkah UMNO'
dan 'Sokong UMNO, Pangkah DAP' adalah satu tanggungjawab bersama yang
diterjemahkan hasil Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan minggu lalu.
Arahan kepemimpinan parti supaya aliran sokongan kepada Kerajaan
Perpaduan diterjemah dalam pengundian tanpa mengira calon dari parti
mana sama ada PKR, UMNO, DAP dan AMANAH memerlukan isyarat jelas untuk
menghindari sikap skeptikal dan amalan 'menikam diri sendiri'.
Nyawa Kerajaan Perpaduan bergantung kepada gerak kerja, strategi dan
keupayaan semua 19 parti menunjukkan kesepaduan, bersatu padu dan
berjiwa perpaduan.
Asimilasi kepartian dalam wadah Kerajaan Perpaduan adalah pada jiwa dan emosi pemimpin serta penyokongnya.
Amalan 'sokong membawa rebah' sentiasa perlu diawasi. Apakah ramuan
diperlukan untuk memperkasakan psikik pengundi UMNO dan DAP supaya tidak
wujud amalan 'untung sabut timbul, untung batu tenggelam' untuk
menghadapi PRN.
Antaranya adalah kerangka 'persefahaman jentera', pemilihan calon
diterima semua, agihan kerusi 'menang-menang' untuk semua, mengelak
'ungkapan' menembak sekutu sendiri dan bertekad duduk bersama dalam
Kerajaan Perpaduan bukan untuk sementara, tetapi demi jangka masa
panjang.
Jika masing-masing mampu jujur nescaya ada formula dan tawarannya.
Persoalannya, bersediakah parti gabungan untuk membina dan menerima
'habitat politik baharu' dengan jenama serta pemasaran luar biasa atas
nama Kerajaan Perpaduan.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

0 Komentar