Tindakan kerajaan menarik balik
rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi kes penggunaan kalimah “Allah”
dalam penerbitan penganut Kristian akan dijelaskan Perdana Menteri
Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan
aturan urusan mesyuarat, perkara berkenaan akan dijawab Anwar pada sesi
Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sejurus mesyuarat bermula
pada jam 10 pagi.
Anwar dijadual berbuat demikian bagi menjawab
soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta penjelasan sama ada
kerajaan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja Melayu dan berunding dengan
majlis agama Islam negeri-negeri sebelum membuat keputusan sedemikian.
Pada
15 Mei, Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan terhadap
keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut Kristian
boleh menggunakan - bagi tujuan pembelajaran - kalimah Allah,
Baitullah, Kaabah dan solat.
Pada
sesi MQT, Rodziah Ismail (PH-Ampang) juga dijadual bertanya mengenai
beberapa isu berkaitan tatakelola kerajaan melaksanakan rangkaian
Internet 5G, manakala Tan Hong Ping (PH-Bakri) ingin tahu jika masa
operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) akan dipanjangkan kepada 24
jam.
Turut menjadi tumpuan hari ini adalah soalan Mas Ermieyati
Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai perancangan kerajaan mengatasi
masalah sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sehingga
menyebabkan kesesakan di plaza tol.
Selain itu, Aminolhuda Hassan
(PH-Sri Gading) pula ingin tahu apakah langkah Kementerian Pendidikan
Malaysia bagi memastikan takwim persekolahan dipatuhi semua pihak dan
bilakah tahun persekolahan dapat kembali dimulakan pada awal Januari.
Sejurus
selepas sesi soal jawab, Rang Undang-Undang Kesihatan Mental (Pindaan)
2023, Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023 dan Rang
Undang-Undang Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023 dijangka
akan dibaca buat kali kedua dan dibahaskan.
Persidangan Dewan
Rakyat kali ini bersidang selama 11 hari bermula 22 hingga 25 Mei, dan
bersambung semula pada 6 hingga 15 Jun ini.
- Bernama

0 Komentar