Misi penggalakan
pelaburan dan perdagangan serta lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri
Anwar Ibrahim ke sembilan buah negara dari Januari hingga Mac 2023
telah berjaya menarik potensi pelaburan dianggarkan berjumlah RM184.73
bilion serta potensi eksport bernilai RM3.22 bilion.
Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas)
Datuk Armizan Mohd Ali berkata negara yang dilawati Perdana Menteri dan
delegasi kerajaan adalah Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura,
Thailand, Turkiye, Filipina, Arab Saudi, Kemboja dan China.
“Misi
utama yang digalas Perdana Menteri semasa lawatan antara lainnya adalah
bagi meyakinkan bakal pelabur untuk melabur di Malaysia di samping
memperkukuh, mendalami dan memperluas kerjasama dua hala antara Malaysia
dan negara yang telah dilawati.
“….terutamanya dalam sektor
kebudayaan dan pelancongan ke arah menggalakkan perhubungan yang lebih
akrab dalam kalangan rakyat dan pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan,
serta memupuk persefahaman yang lebih jitu antara kedua-dua buah
negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang
Parlimen, hari ini.

Beliau
berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan
Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu jumlah kos yang dibelanjakan oleh
kerajaan bagi lawatan Perdana Menteri ke negara luar dari Januari
hingga Mac 2023 dan hasil pelaburan yang sebenar daripada lawatan
tersebut.
Armizan berkata, lawatan rasmi dan persidangan
antarabangsa itu merupakan platform terbaik bagi mempromosikan Malaysia
serta mampu memberi maklumat terkini kepada komuniti perniagaan
antarabangsa mengenai kedudukan ekonomi dan persekitaran perniagaan di
negara ini.
Antara program yang dilaksanakan sepanjang lawatan
rasmi tersebut termasuklah mesyuarat tertutup bersama bakal pelabur,
seminar dan mesyuarat meja bulat.
Ketika lawatan rasmi ke Arab
Saudi dari 22 hingga 24 Mac 2023, Perdana Menteri menyaksikan
pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara
syarikat Malaysia dan Arab Saudi yang melibatkan kerjasama antaranya
bagi pengeluaran cip untuk semi-konduktor termasuk pembukaan kilang di
Negeri Sembilan dan di Arab Saudi serta aspek latihan kepada jemaah haji
di 23 buah negara di rantau Asia dengan anggaran kos pelaburan
berjumlah US$50 juta.
Manakala ketika lawatan rasmi ke Kemboja,
Anwar menyaksikan dua MoU ditandatangani antara kerajaaan Malaysia dan
Kemboja berhubung pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang
pekerja domestik dan penghantaran pulang pekerja.
- Bernama

0 Komentar