Kerajaan membelanjakan lebih RM6 juta untuk menganjurkan majlis Rumah
Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Anwar
Ibrahim di tiga negeri iaitu di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Menteri
di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak, dan Tugas-Tugas
Khas) Armizan Mohd Ali dalam jawapan bertulis di parlimen berkata, acara
itu menelan kos sebanyak RM3.1 juta di Kedah, manakala acara yang sama
di Kelantan dan Terengganu masing-masing melibatkan kos RM1.5 juta.

Bagaimanapun,
terdapat perbezaan kos sebanyak RM200,000 dalam jawapan tersebut
apabila Armizam menyatakan kos keseluruhan penganjuran rumah terbuka
Aidilfitri di tiga negeri tersebut ialah sebanyak RM6.3 juta, sedangkan
pecahan yang diberikan hanya melibatkan RM6.1 juta.

"Jumlah perbelanjaan ini meliputi semua perkara seperti persiapan tempat, logistik dan perbelanjaan jamuan kepada orang ramai.

"Jumlah
kehadiran untuk program di Kedah adalah seramai 25,000 orang, manakala
di Kelantan dan Terengganu seramai 15,000 orang pengunjung di setiap
negeri,” katanya.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan Awang
Hashim (Perikatan Nasional-Pendang) yang meminta perdana menteri
menyatakan perincian kos Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri.

Dalam
pada itu, Armizan turut membandingkan penganjuran Rumah Terbuka
Aidilfitri ketika pentadbiran perdana menteri sebelum ini, Ismail Sabri
Yaakob yang menelan kos RM11 juta, dengan kehadiran 70,000 orang.

Menurutnya,
berbanding penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri pada tahun lalu yang
diadakan di Seri Perdana, pelaksanaan Rumah Terbuka Malaysia Madani
membuka ruang lebih luas untuk membolehkan pemimpin kerajaan bertemu
rakyat di pebagai lokasi.

"Penganjuran
Rumah Terbuka Malaysia Madani pada kali ini juga mendapat kerjasama di
kalangan Kementerian dan Jabatan Persekutuan termasuk Kerajaan Negeri.

“Hal
ini membolehkan kos penganjuran dapat dikurangkan terutamanya dari segi
sumber manusia dan keperluan logistik yang lain," jelasnya.

Menurutnya,
dalam masa yang sama, penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani memberi
peluang kepada peniaga kecil tempatan menjana ekonomi sebagai penyedia
perkhidmatan dan makan minum sepanjang majlis berlangsung.

Kerajaan
hanya menanggung kos Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di Kedah,
Kelantan dan Terengganu, manakala acara yang sama di Pulau Pinang,
Selangor dan Negeri Sembilan ditanggung oleh kerajaan negeri.

Azmizan tidak mendedahkan kos rumah terbuka Aidilfitri Malaysia Madani di tiga negeri pimpinan Pakatan Harapan.

Untuk
rekod, Rumah Terbuka Aidilfitri pada 2013 yang dihoskan perdana
menteri, Najib Razak ketika itu hanya menelan belanja sebanyak RM2.88
juta.

Bagaimanapun ia merupakan peningkatan sebanyak 70 peratus
berbanding Rumah Terbuka Aidilfitri ketika Najib menjadi perdana menteri
pada 2009.