Bekas Ahli Parlimen
Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak berhasrat untuk
bertanding mewakili parti lain bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam
negeri akan datang.
Sebaliknya jika rayuan penggantungannya
sebagai ahli Umno ditarik balik, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno
itu mahu membantu jentera parti itu dalam kempen PRN itu.
"Kalau
saya dilepaskan daripada penggantungan Umno sudah tentu akan berkempen
dan bantu parti buat kerja. Kalau boleh saya tidak mahu khemah parti
lain," katanya ketika ditemui media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri
di kediamannya di Pasir Salak hari ini.
Terdahulu media
melaporkan Tajuddin mengemukakan rayuan terhadap penggantungan
keahliannya selama enam tahun dan mahu kembali aktif dalam parti itu.
Pada
Okt 2022 Umno telah menggantung keahlian Tajuddin selama enam tahun,
dan semalam, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan
berkata rayuan itu akan dirujuk kepada MT untuk membuat keputusan.
Sementara
itu Tajuddin berkata beliau berharap rayuan penggantungan keahliannya
segera dibawa ke MT Umno untuk pertimbangan, kerana menurutnya parti
Melayu itu masih disayanginya dan beliau ingin menyelesaikan isu
berkenaan secara baik.
"Saya rasa penuh yakin sekiranya dibawa ke
Majlis Tertinggi, keputusannya adalah positif, sebab saya sudah
menjelaskan dalam surat sebanyak dua kali sebelum ini dan juga semalam.
"Saya
sebagai pengarah pilihan raya sebelum ini tidak membuat salah, sebagai
ahli majlis tertinggi digantung, digugur sebagai calon pun tiada
masalah. Kalau ada pun kerana saya bersuara lantang dalam isu
kepentingan parti," katanya.
Bagaimanapun, Tajuddin berkata
beliau bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan malah tidak akan
berputus asa dalam perjuangan politik termasuk cuba aktif dalam
menggunakan platform media sosial.
- Bernama

0 Komentar