Tahukah
anda bahawa Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat yang lebih tua?
Menurut kajian, menjelang tahun 2030, 15.3% daripada penduduknya akan
berusia 60 tahun ke atas. Ini bermakna sebahagian besar daripada
penduduk akan bersara, dan ini akan memberi impak besar terhadap
simpanan persaraan mereka.
Impak yang besar?

Berdasarkan
laporan daripada KWSP, 6.7 juta ahli atau 51% daripada semua ahli KWSP
yang berusia di bawah usia 55 tahun mempunyai kurang daripada RM10,000
dalam akaun simpanan mereka selepas pengeluaran. Jumlah ini mungkin akan
menghasilkan pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan
untuk tempoh 20 tahun (RM42 sebulan = RM1.40 sehari). Jika keadaan ini berterusan, kumpulan yang berisiko tinggi ini akan mengalami kemiskinan pada zaman tua.
Cukupkah simpanan persaraan anda nanti?
Jika
kita mengambil kira usia persaraan pada 60 tahun, ini bermakna rakyat
Malaysia perlu mempunyai simpanan mencukupi untuk meneruskan kehidupan
sepanjang tempoh 15.6 tahun yang akan datang. Dengan kadar inflasi serta
kos sara hidup yang semakin meningkat, simpanan persaraan untuk
menangani keperluan masa hadapan adalah sangat penting.
Justeru,
bagi pencarum yang masih bekerja dan belum mencecah usia 55 tahun,
masih belum terlewat untuk mereka mengambil tindakan bagi menambah
semula simpanan persaraan mereka. Tanpa perancangan yang awal, mereka
akan terkesan dalam jangka masa yang panjang.
Kita
perlu ingat bahawa pengeluaran yang dilakukan lebih awal akan mengambil
masa yang lama untuk diganti semula. Malah jika kedudukan gaji anda
tidak berubah, usaha menambah simpanan ini akan menjadi lebih sukar.
Setiap ringgit yang anda simpan dalam KWSP akan dilaburkan dan nilainya akan berganda.
3.1 juta ahli yang membuat pengeluaran khas masih belum membina semula simpanan
Pandemik
COVID-19 telah menjerumuskan ramai rakyat Malaysia dalam kancah masalah
kewangan. Susulan itu empat siri pengeluaran iaitu i-Lestari, i-Sinar,
i-Citra serta Pengeluaran Khas telah dilaksanakan ketika pandemik yang
melibatkan nilai RM145 bilion.
Kemudahan pengeluaran itu
dibenarkan memandangkan situasi yang dihadapi ketika pandemik adalah
sangat luar biasa dan belum pernah dialami sebelum ini.
Sejumlah
8.1 juta ahli di bawah 55 tahun telah memohon sekurang-kurangnya satu
daripada 4 jenis pengeluaran berkaitan COVID-19. Antara 8.1 juta ahli
tersebut, 0.3 juta (4%) telah mencapai umur 55 tahun dan ke atas setakat
Januari 2023. Ini membolehkan mereka mempunyai akses kepada simpanan
KWSP mereka.
Baki 7.8 juta ahli (berumur di bawah 55 tahun
sehingga Januari 2023) yang membuat pengeluaran khas, daripada jumlah
tersebut 4.6 juta (59%) telah mula membina semula simpanan KWSP mereka,
dengan pertumbuhan simpanan bersih berjumlah RM26.1 bilion dicatatkan
dalam tempoh lapan bulan selepas kemudahan pengeluaran khas terakhir
(Pengeluaran Khas) berakhir pada Mei 2022.
3.1 juta (39%) ahli
yang membuat pengeluaran khas dan (berumur di bawah 55 tahun) setakat
Januari 2023 masih belum membina semula simpanan mereka. Tahap simpanan
mereka kekal rendah, dengan penjimatan median sebanyak RM890.
Komited membantu ahli bina semula simpanan dan jamin masa depan persaraan
Ditubuhkan
sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang
menetapkan bahawa Akaun 1 (70% simpanan) ditetapkan untuk persaraan,
manakala Akaun 2 (30% simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang
dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.
Pengurusan
keselamatan pendapatan selepas persaraan kekal sebagai mandat utama dan
panduan kepada KWSP dalam membangunkan strategi penjagaan dana warga
emas yang sistemik.
Jumlah warga emas yang akan memerlukan
sokongan kerajaan akan pasti meningkat, seterusnya memberikan cabaran
dalam merangka dasar dari segi aspek seperti pekerjaan, jaminan
pendapatan, dan penjagaan kesihatan. Ini menyerlahkan lagi kepentingan
mempunyai simpanan dan pendapatan yang mencukupi untuk kesejahteraan
masa depan selain membendung sebarang kejutan kewangan masa hadapan.
Dalam
usaha untuk menangani krisis simpanan, KWSP giat menyokong dasar
perlindungan sosial untuk kesejahteraan rakyat Malaysia melalui
penglibatan aktif dalam jawatankuasa peringkat kebangsaan yang memberi
tumpuan kepada peningkatan landskap perlindungan sosial negara, seperti
Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC), Majlis Warga Emas Negara,
dan lain-lain lagi.
KWSP berharap usaha reformasi ini boleh menghasilkan sistem perlindungan sosial yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Mari kita bersama-sama membuat persediaan simpanan persaraan seawal yang boleh untuk mendapatkan jaminan kewangan yang kukuh.

0 Komentar