KUALA LUMPUR: Solat dan sedekah pada waktu subuh setiap hari menjadi
antara amalan pelawak Amir Raja Lawak yang dilihat sebagai pembuka pintu
rezeki terutama dalam bidang perniagaan.
Amir atau nama sebenarnya, Mohammad Amirullah Azmi, 34, yang
mengusahakan perniagaan air jagung sejak 2017 mengakui, dia memulakan
harinya dengan mengerjakan amalan seperti solat, berdoa dan bersedekah.
Bagaimanapun, Amir yang juga peserta program realiti, Raja Lawak
musim ketiga pada 2009 itu berkata, dia hanya mengikut perancangan yang
diatur oleh Yang Maha Esa dalam soal rezeki.
"Permulaan hidup setiap hari pada waktu pagi. Memang betul apabila
orang dahulu kata bangun pagi atau subuh, rezeki akan dimurahkan.
"Mungkin ini adalah apa yang saya boleh kongsikan kepada orang ramai.
Saya ada juga amalkan membaca doa supaya dimurahkan rezeki. Selain itu,
sedekah subuh saya juga diamalkan.
"Selepas solat subuh, saya akan sedekah ke mana-mana tabung atau
mereka yang memerlukan. Kalau solat di masjid, saya akan sedekah dalam
tabung masjid.
"Sedekah sahaja seberapa banyak yang kita mampu dan niatkan baik-baik," katanya kepada BH Online.
Dalam masa masa, Amir menjelaskan, dia turut menghulurkan sumbangan
kepada pusat pendidikan atau tahfiz yang berdekatan dengannya.
"Selain masjid, saya juga sedekah ke rumah tahfiz berdekatan termasuk
memberikan air jagung untuk pelajar kerana mereka memang sukakannya.
"Cuma, apa saya boleh katakan solat pada pagi setiap hari adalah kuncinya.
"Mungkin amalan dan doa orang ramai juga menjadi pembuka laluan untuk
Allah berikan rezeki kepada saya," katanya ditemui pada sidang media
program Astro, Mega Spontan 2023, baru-baru ini.

Mengulas kelangsungan perniagaan Air Jagung Amirreka HQ, Amir
berkata, dia akan sentiasa berusaha mencuba dan mengambil peluang
terbaik untuk mengembangkan perniagaannya.
"Kalau dalam perniagaan yang saya usahakan macam biasa sahaja. Saya akan lihat yang mana terbaik, saya akan mengambilnya.
"Orang berniaga ini perlu sentiasa mencuba dan ambil peluang yang terbaik.
"Alhamdulillah, saya bersyukur perniagaan air jagung yang diusahakan
sejak enam tahun lalu masih dapat diteruskan sehingga kini," katanya.
Ditanya kehidupannya ketika mula terbabit dalam bidang perniagaan,
anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan itu berkata, dia selesa dan lebih
tenang.
"Alhamdulillah, kehidupan saya tenang sahaja, lingkungan kenalan juga
tidaklah terlalu besar, jadi boleh buat hal sendiri serta tidak terikat
dengan orang lain.
"Janji jangan kacau orang dan perlu menjaga hubungan antara satu sama
lain, lebih lagi, sebagai peniaga. Apabila saya berniaga tepi jalan, ia
membuatkan saya lebih rapat dengan orang ramai," katanya.

0 Komentar