BANGKOK: Parti pembangkang Move Forward dan Pheu Thai kini bersaing sengit untuk merebut 400 kerusi dalam pilihan raya Thailand.


Sehingga 11.30 malam tadi (waktu tempatan), sebanyak 55 peratus
kertas undi sudah pun dikira yang menyaksikan Pheu Thai dan Move Forward
sedang mendahului.


Menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Thailand, Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Thailand
yang dibuang negeri, Thaksin Shinawatra, memenangi 113 kerusi manakala
Move Forward yang popular dalam kalangan pengundi muda memperoleh 112
kerusi.


Selain itu, parti Bhumjaithai yang diketuai oleh Timbalan Perdana
Menteri dan Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul, memenangi 64
kerusi.


Parti United Thai Nation (UTN) yang menamakan Perdana Menteri Prayuth
Chan O-cha sebagai calon perdana menterinya setakat ini memenangi 24
kerusi.


Ketua Move Forward, Pita Limjaroenrat, berkata: "beliau sangat gembira dengan keputusan awal itu".


Dengan bilangan kerusi yang sudah dimenangi setakat ini, Move Forward
dan Pheu Thai sepatutnya boleh membentuk kerajaan, katanya kepada
pemberita.


Sementara itu, anak perempuan Thaksin, Paetongtarn
Shinawatra, 36, berkata parti yang paling banyak memenangi kerusi harus
memulakan langkah untuk bergabung. – BERNAMA