KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah,
Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Ali mempertahankan kewujudan
kerajaan perpaduan, yang disifatkan segelintir pihak sebagai
“perkahwinan paksa” antara parti-parti anggota.


Beliau berkata, parti-parti dalam kerajaan perpaduan patut
berasa bangga kerana membuat pilihan yang tepat, mengetepikan perbezaan
demi agenda yang lebih besar.

“Kalau adapun yang menyifatkan kami dalam kerajaan perpaduan bernikah secara paksa, yang penting nikah secara sah.


“Kadang kala bercinta selepas berkahwin jauh lebih bermakna,” katanya


Dalam pada itu, Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan
Rakyat Sabah (GRS) berkata, penganjuran Konvensyen Nasional Kerajaan
Perpaduan hari ini ialah platform yang amat penting dan
dinanti-nantikan.


Katanya, konvensyen ini memberikan makna buat perjanjian persefahaman kerajaan perpaduan yang dimeterai pada 16 Dis lepas.


“Apa yang dikatakan tentang kami datang dari pelbagai (latar
belakang) pendirian politik yang berbeza sejak sekian lama, memang
benar.


“Namun jika dilihat dari perspektif yang lain, saya fikir ini satu perkembangan positif yang amat signifikan,” katanya.


Terdahulu,
dilaporkan bahawa segelintir pemimpin pembangkang menyifatkan kerjasama
Barisan Nasional-Pakatan Harapan dalam kerajaan perpaduan sebagai
“kahwin paksa”. Perkara sama turut dibangkitkan bekas perdana menteri
Ismail Sabri Yaakob.


Ketua Pemuda Umno Muhamad Akmal Saleh sebelum ini berkata,
tidak ada gunanya Umno dan Barisan Nasional (BN) “bercinta” lama dengan
parti tertentu, namun kemudian “dicurangi”.


Katanya, lebih baik Umno dan BN bekerjasama dengan parti
lain secara paksa dalam membentuk kerajaan perpaduan merangkumi pelbagai
parti berbanding bekerjasama dengan mereka yang “tidak setia”.