Kertas siasatan ke
atas Dr Mahathir Mohamad berhubung isu dia didakwa menghina institusi
raja sudah disiapkan, kata Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.

Setiausaha
PDRM Noorsiah Mohd Saaduddin berkata selaras dengan peruntukan
undang-undang kertas siasatan tersebut akan dirujuk ke Jabatan Peguam
Negara (AGC) minggu depan.

"PDRM telah melengkapkan kertas siasatan terhadap Tun Dr Mahathir bersabit kes penghinaan terhadap institusi diraja.

"Kertas
siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada 6 Jun ini
selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan,"
katanya dalam kenyataan media.

Dalam kenyataan sama Noorsiah juga memberitahu bagi isu membabitkan Proklamasi Orang Melayu, PDRM masih di peringkat siasatan.

Katanya
polis akan merakamkan percakapan dua ahli politik lagi iaitu Presiden
PAS Abdul Hadi Awang, dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P
Ramasamy.

Semalam, peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili
Mahathir berkata bekas perdana menteri itu disoal mengenai video yang
dikatakan menunjukkan pemimpin berusia 97 tahun itu bercakap di sebuah
majlis.

Dalam video itu, Mahathir didakwa membuat kenyataan bahawa
orang Melayu tidak boleh bergantung kepada Raja-raja Melayu untuk
melindungi mereka.

Mahathir
disoal siasat oleh polis di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan atas
dakwaan “aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.”

Rafique
menyifatkan soal siasat itu sebagai "intimidasi" terhadap Mahathir,
berkata siasatan tertumpu kepada laporan yang dibuat mengenai
'Proklamasi Melayu' - kempen terbaru bekas ahli parlimen Langkawi itu.