Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengesahkan
khabar angin berhubung tindakan beberapa pengerusi jawatankuasa atau
exco kerajaan negeri yang mula mengemas serta mengosongkan ruang
pejabat.
Beliau berkata tindakan berkenaan merupakan perkara biasa
dilakukan mereka terutamanya pada akhir penggal, bagi menghadapi
pilihan raya.
“Ini adalah perkara lazim. Semua buat perkara sama.
Dahulu saya pada penggal lepas pun begitu, bila dah nak bubar (Dewan
Undangan Negeri), kita pun bersiap sedia untuk kemas. Selepas ini tugas
mereka (exco) adalah untuk menjalankan apa yang dirancang dan tidak
boleh ada dasar baharu.
“Masing-masing pada ketika itu akan sibuk
dengan pilihan raya dan berada di lapangan,” katanya yang ditemui di
Program Sumbangan Korban Negeri Selangor 2023 di sini, hari ini, ketika
merujuk khabar angin mengenai tindakan beberapa exco kerajaan negeri
Selangor yang sudah mula mengemas dan mengosongkan ruangan pejabat.
Amirudin
berkata beliau sedang menunggu perkenan daripada Sultan Selangor Sultan
Sharafuddin Idris Shah untuk sesi menghadap bagi menentukan tarikh
pembubaran DUN Selangor, dan kerajaan negeri hanya mempunyai tempoh 23
hari bermula hari ini bagi membubarkan DUN.
Selangor antara enam
negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Negeri Sembilan, Pulau
Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
- Bernama

0 Komentar