Pakatan Harapan (PH)
dan Barisan Nasional (BN) Selangor masih dalam proses rundingan
mengenai pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Perkara ini selepas BN meminta PH menambah jumlah kerusi yang ditawarkan sebelum ini.
Beberapa sumber daripada PH dan BN memberitahu Malaysiakini, PH menawarkan 10 kerusi kepada BN.
Namun,
gabungan itu meminta PH Selangor yang diketuai oleh Menteri Besar
Amirudin Shari agar menambahkan sekurang-kurangnya tujuh lagi kerusi
menjelang PRN yang diramal akan diadakan pada hujung bulan Julai ini.

"Setelah
beberapa pusingan rundingan, PH menawarkan 10 kerusi termasuk empat DUN
yang dimenangi Umno pada PRU14, " kata sumber daripada PH.
Difahamkan,
selain empat kerusi yang disandang oleh Umno, PH menawarkan enam kerusi
yang masing-masing dimenangi oleh PAS dan lima daripada enam kerusi
dimenangi Bersatu pada PRU 14 yang lalu kecuali DUN Dengkil.
Namun, beberapa sumber BN berkata gabungan itu tidak berpuas hati dengan tawaran 10 kerusi.
"Kami nampak angka 10 itu sangat kecil. Kalau boleh kami sasar 17 termasuk MCA dan MIC.

"Permintaan tujuh kerusi tambahan itu termasuk Sungai Kandis, Kuala Kubu Bharu, Dengkil dan Sentosa.
"MCA menyasarkan kerusi Kuala Kubu Bharu yang kini disandang oleh DAP.
“Manakala, MIC mahu salah satu daripada DUN Sentosa atau Dengkil," kata satu sumber Umno.
Bagi
DUN Sungai Kandis, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz disebut-sebut akan bertanding di kerusi
itu yang dimenangi pemimpin PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada pilihan
raya kecil 2018.

Malaysiakini telah menghubungi Pengerusi BN Selangor Megat Zulkarnain Omardin dan pejabat Amiruddin untuk mendapatkan komen.
Pada PRU14, gabungan PH terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu memenangi 51 kerusi daripada 56 yang ditandingi.
Umno menang empat kerusi manakala PAS menang satu DUN di Sijangkang.
Namun,
pada 2020, Bersatu yang menang enam DUN bertindak keluar daripada PH
menerusi Langkah Sheraton yang menyaksikan keruntuhan kerajaan pusat
pimpinan PH.

Bekas
timbalan presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang juga Adun Bukit
Antarabangsa bertindak menyertai Bersatu bersama-sama Adun Gombak Setia
Muhammad Hilman Idham.
Sementara itu, Adun Sementa Daroyah Alwi
dan Adun Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha keluar PKR dan menyertai Parti
Bangsa Malaysia (PBM) yang dilihat sebagai parti serpihan PKR.
Bersatu
turut kehilangan tiga wakil rakyat di Dewan Undangan Selangor selepas
Adun Jeram Mohd Shaid Rosli, Adun Kuang Sallehudin Amiruddin dan Adun
Batang Harumaini Omar menyertai parti Pejuang yang diasaskan oleh Dr
Mahathir Mohamad.
Namun, kerusi Batang Kali diisytihar kosong pada
Feb 2023 oleh Dewan Undangan Selangor berikutan wakil rakyat berkenaan
gagal hadir diri tanpa kebenaran, semasa persidangan dewan melebihi enam
bulan, iaitu sejak 28 Julai tahun 2021.
Dalam pada itu, sumber Umno berkata dia menjangkakan kemungkinan terdapat kelonggaran dalam polisi 'yang menang dikekalkan'.
"Saya
percaya, PH tidak boleh terlalu keras dengan polisi bahawa parti yang
menang kerusi DUN pada PRU14 akan mengekalkan kerusi tersebut.
"Ini
mungkin akan menyukarkan gabungan itu khususnya PKR dan Amanah
sekiranya pemilihan negeri Melaka dan Johor diadakan lebih awal daripada
PRU16.
"Ini kerana PKR gagal menang sebarang kerusi di PRN Melaka
dan menang satu kerusi di Johor. Maka, polisi 'yang menang dikekalkan'
tidak boleh digunakan di kedua-dua negeri itu.
"Mungkin rundingan
peringkat negeri berbeza. Tetapi, keputusan di pucuk pimpinan PH dan BN
adalah muktamad. Dan kami harap akan ada kerusi dimenangi PH akan
dibahagikan kepada BN pada PRN Selangor," katanya.

0 Komentar