PETALING JAYA Pakatan Harapan (PH) Selangor menafikan dakwaan
beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai gabungan itu akan
‘dikorbankan’ bagi memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN)
pada PRN nanti.


Malah, Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman,
berkata perkara itu tidak dibincangkan antara PH dan BN dalam rundingan
agihan kerusi.


Katanya, pendirian mereka masih sama seperti diputuskan PH di
peringkat pusat bahawa parti akan kekal bertanding di kerusi dimenangi
pada PRU14.


“Tidak ada perbincangan berkaitan ‘korban kerusi’ di Selangor.
Pendirian PH Selangor sebagaimana kenyataan ketua setiausaha PH
(Saifuddin Nasution Ismail) iaitu ‘status quo’ bagi semua kerusi yang
dimenangi oleh PH.


“Jika kita tidak boleh menang banyak, jadi kenapa perlu adanya kerjasama,” katanya menurut Berita Harian.


Terdahulu, media yang memetik sumber melaporkan, PH mungkin akan
menyerahkan sekurang-kurangnya lima kerusi “selamat” kepada BN dalam
langkah strategik bagi mengekalkan kerajaan perpaduan.


DAP dan PKR dikatakan melakukannya untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).


Malah, nama Bendahari BN Selangor, Tengku Zafrul Aziz, antara
beberapa calon gabungan itu yang mungkin bertanding di kerusi selamat,
yang dijangka “dikorbankan” oleh DAP dan PKR pada PRN akan datang.


Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu, yang
tewas di Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 kepada calon PH, Dzulkefly
Ahmad, dijangka diberi kerusi bandar majoriti Melayu yang agak selamat.


Sebelum ini, Saifuddin berkata, PH dan BN bersetuju semua
kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU14 dalam
menghadapi PRN di enam negeri kelak.


Selain itu, Khairuddin berkata, beliau percaya undi orang
Melayu di Selangor lebih bersifat realistik dan yakin keputusan pilihan
raya itu nanti akan memihak kepada PH.


Katanya, PH Selangor juga yakin pengundi muda melalui Undi18 di Selangor akan terus bersama dengan PH.