Presiden PAS, Abdul Hadi Awang
telah dicabar oleh seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno untuk
mendedahkan identiti individu yang menawarkan kepada partinya untuk
menyertai kerajaan perpaduan. 

Saya tidak terkejut sekiranya Hadi
gagal untuk mendedahkan identiti individu ini kerana individu ini tidak
wujud, sama seperti apabila Hadi gagal untuk memberikan sekelumit bukti
pun untuk pelbagai tuduhan liar dan tidak masuk akal yang dilemparkannya
terhadap DAP dan saya sebelum ini. 

Hadi telah menuduh DAP dan
saya sebagai kononnya mempromosikan Islamofobia. Sekiranya betul, Hadi
telah gagal dalam tanggung jawabnya sebagai duta khas ke Timur Tengah
untuk dua orang perdana menteri apabila dia gagal melaporkan insiden
Islamofobia ini kepada Badan Pemerhati Islamofobia Pertubuhan Kerjasama
Islam (OIC). 

Gambar Hiasan - Abdul Hadi Awang

Tambahan
lagi, dia juga gagal dalam menjalankan tanggung jawabnya sebagai
seorang ahli parlimen untuk membangkitkan perkara ini di Parlimen,
kerana sangatlah tidak diterima untuk Islamofobia dibiarkan di dalam
mana-mana dari 57 negara OIC.

ADS

Timbalan
Presiden PKR, Rafizi Ramli, telah menafikan dakwaan Hadi yang
mengatakan PKR menawarkan parti tersebut untuk menyertai kerajaan. 

Rafizi
mengatakan yang dia tidak pernah mendengar apa-apa mengenai jemputan
sedemikian walaupun dia terlibat secara langsung dalam usaha pembentukan
kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15. 

Agak memalukan untuk
Hadi dimaklumkan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, untuk berhenti
berangan mengenai tawaran kononnya PAS diundang menyertai kerajaan
perpaduan Anwar. 

Gambar Hiasan - Anwar bersama pemimpin BN, GPS dan Muda

Hadi
menegaskan yang PAS patut diberikan peranan dominan memandangkan mereka
mempunyai jumlah kerusi terbanyak dari kalangan semua parti. 

Adakah Hadi hendak menjadi perdana menteri?

Perkara
ini menunjukkan ketiadaan kejujuran Hadi dalam cubaan menyertai
kerajaan perpaduan kerana dia lebih berminat dengan dominasi PAS dan
bukannya perpaduan. 

Atau adakah Hadi tersilap baca cadangan saya
untuk PAS bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar untuk
menyelesaikan masalah-masalah yang telah lama berlanjutan, seperti
masalah air selama 60 tahun dan masalah kekurangan pembangunan di
Kelantan, Terengganu, dan Kedah sebagai satu jemputan rasmi untuk Hadi
atau PAS menyertai kerajaan perpaduan Anwar?

Gambar Hiasan - Abdul Hadi Awang

Tidak
mungkin untuk Hadi tidak sedar mengenai penjelasan saya bahawa perkara
ini adalah idea peribadi saya dan bukannya cadangan dari DAP atau
kerajaan perpaduan Anwar kerana saya tidak berbincang mengenai perkara
ini dengan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, atau mana-mana pemimpin
DAP yang lain, apatah lagi dengan para pemimpin atau menteri dari
kerajaan perpaduan Anwar. 

Walaupun saya menyokong idea untuk PAS
menyertai kerajaan perpaduan Anwar, PAS perlu menunjukkan yang mereka
bersedia untuk menunjukkan perubahan dengan menyokong titah Seri Paduka
Baginda Yang di Pertuan Agong yang menyeru supaya adanya kestabilan
politik dan perpaduan nasional dalam negara.

Sebagai
permulaan, adakah Hadi bersedia untuk menarik semula dan memohon maaf
untuk pelbagai tuduhan liarnya sebelum ini yang dibuat terhadap DAP dan
saya?

Kedua, adakah Ahli-ahli Parlimen PAS akan menunjukkan yang
mereka akan berhenti memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan dan
sebaliknya menjadi contoh tauladan sebagai ahli parlimen yang menyokong
kestabilan politik dan perpaduan nasional?

Ketiga, adakah PAS akan
menyokong matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai contoh dialog,
persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya,
dan tamadun kepada dunia?


LIM KIT SIANG ialah seorang veteran DAP.