LENGGONG: Dakwaan kononnya UMNO akan melancarkan 'Kempen Sayangi DAP'
seperti tular di media sosial adalah satu fitnah, tegas Presiden UMNO,
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Beliau menyifatkan dakwaan yang ditularkan melalui aplikasi WhatsApp
sejak beberapa hari lalu itu sebagai taktik kotor pembangkang.


"Siapa yang buat fitnah, yang buat kerja tak tentu hala tu
hentikanlah, zaman sekarang orang boleh baca, mana betul, mana fitnah.
Jadi saya minta yang buat fitnah tu bertaubatlah," katanya kepada
pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Perak di Kolej
Kemahiran Tinggi Mara Lenggong di sini, hari ini.


Terdahulu tular satu poster digital yang memaklumkan kononnya Ahmad
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri akan melancarkan Kempen UMNO
Sayangi DAP, di samping turut menyenaraikan lima objektif kempen itu,
antaranya bagi meyakinkan akar umbi UMNO bahawa DAP bukanlah seburuk
yang digambarkan.


– BERNAMA