KATHMANDU: Seorang pendaki warga Australia meninggal dunia di
Everest, kata penganjur ekspedisinya hari ini, menjadikan jumlah
kematian ke-10 di puncak tertinggi dunia itu pada musim pendakian kali
ini.


Jason Bernard Kennison, 40, yang dilaporkan terselamat dalam nahas
kereta pada 2006, dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sihat pada
hari Jumaat, kata Asian Trekking.


Selepas menjadi 'tidak responsif' pada pendakian itu, Kennison dibawa
turun ke kawasan balkoni di bawah puncak, Ketua Asian Trekking, Dawa
Steven Sherpa memberitahu AFP.

"Memandangkan silinder oksigen yang mereka bawa kehabisan, mereka
memutuskan untuk turun ke Kem 4 dengan harapan dapat naik semula dengan
silinder oksigen untuk menyelamatkannya," kata Sherpa.


"Angin kencang dan cuaca buruk menghalang mereka untuk membawanya pulang. Dia meninggal dunia di kawasan balkoni.


Kematian Kennison adalah yang keenam dalam kalangan bukan warga
Nepal, manakala empat Sherpa kehilangan nyawa mereka di Everest pada
musim pendakian tahun ini.

Secara purata, lima pendaki meninggal dunia setiap musim pendakian di Everest.


Bagaimanapun, pada 2019 seramai 11 orang maut dengan empat daripada kematian dipercayai akibat kesesakan di atas gunung itu.


Menurut laporan media Australia, Kennison menghabiskan masa
bertahun-tahun untuk belajar berjalan semula selepas kemalangan jalan
raya itu menyebabkan dia mengalami pelbagai kecederaan termasuk saraf
tunjangnya.


Hampir 450 pendaki sudah mendaki Gunung Everest musim ini, menurut jabatan pelancongan Nepal.


Pihak berkuasa mengeluarkan 478 permit kepada pendaki asing tahun ini, dengan masing-masing membayar yuran AS$11,000.


Rakyat Malaysia, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, meninggal dunia
selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest,
yang berketinggian 8,848 meter dari paras laut.


Seorang lagi pendaki, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang juga orang
kelainan upaya (OKU) pendengaran dilaporkan hilang dipercayai ketika
menuju kem tiga, selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest. - AFP