Kenyataan Annuar Musa sepertimana laporan Malaysiakini pada 15 Mei lalu hanyalah menzahirkan pemikiran naif serta hatinya yang busuk dipenuhi sifat kebencian.

Annuar
sepatutnya sedar bahawa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang
dijalankan dua hari lalu adalah kelangsungan - setelah enam bulan -
titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar sebuah
Kerajaan Perpaduan dibentuk pasca PRU-15.

Dan faktanya jelas.
Perikatan Nasional (PN) enggan menyertai kerajaan ini sepertimana
dititahkan. Dengan kata lain, PN gagal memahami dan bertindak selaras
titah Seri Paduka.

Malangnya, perkara semudah ini gagal difahami Annuar. Bahkan tanpa segan silu, Annuar telah memetik DAP dalam kenyataan beliau.

Saya
harap Annuar tonton semula rakaman penuh ucapan Setiausaha Agung DAP
Anthony Loke serta pemimpin-pemimpin Kerajaan Perpaduan yang lainnya.
Kehadiran DAP bersama-sama 19 parti politik yang lain ke Pusat Dagangan
Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu adalah simbol kesetiaan kepada
Raja Melayu yang menjadi tonggak Malaysia sepertimana diikrarkan dalam
rukun negara.

Kehadiran ribuan penyokong serta pendokong 19 parti
yang membanjiri WTC adalah bukti kesetiaan kepada negara. Meskipun
dengan pelbagai latar belakang yang berbeza, kami meninggalkan apa juga
perseteruan lampau demi menjunjung titah tersebut.

Annuar mendakwa Konvensyen Kerajaan Perpaduan bakal membawa malapetaka kepada Umno. 

Namun
hakikatnya, konvensyen tersebut bukan malapetaka apatah lagi penamat.
WTC menjadi saksi sebuah permulaan baru jajaran politik tanah air. 

Politik
yang mengangkat agenda rakyat tanpa membezakan bangsa, agama mahupun
wilayah tertentu selaras dengan semangat Malaysia yang terkandung dalam
Perlembagaan negara.

Ini jauh sekali berbeza daripada pandangan
Annuar yang ternyata meleset dan hanya mampu menafsirkan atas pelabelan
'sosialis' dan 'liberalis' semata-mata.

Pandangan
dangkal Annuar ini tidak lain hanyalah menzahirkan keserakahan politik
kuasa semata-mata yang mahu memecah belahkan rakyat. Sedang Kerajaan
Perpaduan bawah teraju Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang bekerja
keras membela rakyat, memulihkan ekonomi dan mengangkat nama Malaysia di
mata dunia.


SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor.